Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
DUNIA

PBB seru negara anggota tambah pembiayaan bagi tindak balas kemanusiaan di Gaza

Bernama 11/10/2025 | 12:45 MYT
Dujarric berkata, PBB dan rakan-rakan kemanusiaannya bersedia untuk meningkatkan operasi bantuan dengan segera. - Gambar fail/Reuters
NEW YORK: Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pada Sabtu menyatakan bahawa pengumuman gencatan senjata telah memberi harapan baharu untuk bantuan kemanusiaan di Gaza dan menyeru negara anggota supaya menyalurkan pembiayaan yang lebih besar bagi membolehkan komuniti kemanusiaan meningkatkan operasi mereka.

"Beberapa minit selepas pihak berkuasa Israel mengumumkan gencatan senjata berkuat kuasa pada tengah hari waktu tempatan, ribuan penduduk mula bergerak ke utara semula -- kebanyakannya berjalan kaki, manakala sebahagian lagi menaiki kenderaan dan pedati.

"Sebahagian daripada mereka yang berjaya tiba di Bandar Gaza melaporkan bahawa kediaman mereka mengalami kerosakan tambahan," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric dalam taklimat media harian seperti dilaporkan Agensi Berita Emiriah (WAM).

Beliau berkata, PBB dan rakan-rakan kemanusiaannya bersedia untuk meningkatkan operasi bantuan dengan segera.

"Bagi melaksanakan pelan ini, PBB memerlukan pembukaan lebih banyak lintasan sempadan, pergerakan selamat bagi petugas bantuan dan orang awam, kemasukan barangan tanpa sekatan, visa untuk kakitangan serta ruang bagi PBB dan rakan-rakan NGO beroperasi selaras dengan prinsip kemanusiaan," kata beliau.

Selepas dua tahun peperangan, beliau menegaskan bahawa pemulihan infrastruktur amat mendesak bagi membolehkan proses pemulihan dilaksanakan.

Sektor swasta turut memainkan peranan penting dan OCHA menyeru semua pemimpin yang menyokong gencatan senjata supaya membantu mewujudkan keadaan yang membolehkan operasi kemanusiaan dijalankan tanpa halangan.

"Adalah sangat penting agar negara anggota memberikan pembiayaan yang mencukupi supaya komuniti kemanusiaan dapat meningkatkan tindak balas mereka," katanya.

-- BERNAMA



#gencatan senjata #bantuan kemanusiaan #OCHA #PBB