[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

PBB tolak dakwaan Israel makanan mencukupi di Gaza

Astro Awani 02/04/2025 | 00:40 MYT
WFP tidak menutup operasi kedai roti secara suka-suka, tetapi terpaksa berbuat demikian kerana ketiadaan tepung dan gas memasak menjadikan operasi tidak lagi dapat diteruskan. - Foto AP
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak dakwaan Israel bahawa bekalan makanan di Semenanjung Gaza adalah mencukupi untuk tempoh yang panjang.
PBB menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasas, terutama selepas semua 25 kedai roti yang disokong Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa ditutup.
Tiada sebarang bantuan kemanusiaan dihantar ke wilayah Gaza sejak 2 Mac kerana Israel menegaskan tiada bekalan dibenarkan masuk selagi Hamas tidak membebaskan semua tebusan yang masih ditahan.
Pada penghujung bulan Mac, Israel menyambung semula serangan udara ke atas Gaza selepas dua bulan gencatan senjata dan mengerahkan semula tenteranya ke wilayah yang terkepung itu.
Agensi Tentera Israel, yang menyelaras penghantaran bantuan, melaporkan sepanjang tempoh gencatan senjata, sebanyak 25,200 buah trak membawa hampir 450,000 tan bantuan telah memasuki Gaza.
Ia turut menyatakan bahawa jumlah tersebut mewakili hampir satu pertiga daripada keseluruhan trak bantuan yang memasuki Gaza sejak perang bermula, dan menegaskan bekalan makanan sebenarnya mencukupi untuk tempoh yang panjang jika Hamas membenarkan orang awam menerimanya.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menyanggah kenyataan tersebut dengan tegas dan menjelaskan bahawa menurut penilaian pihak PBB, dakwaan Israel itu tidak munasabah kerana bekalan yang ada kini hampir habis sepenuhnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa WFP tidak menutup operasi kedai roti secara suka-suka, tetapi terpaksa berbuat demikian kerana ketiadaan tepung dan gas memasak menjadikan operasi tidak lagi dapat diteruskan.
#bekalan makanan #Gaza #Israel #PBB