DUNIA

Pegawai Afghanistan tolak tuntutan AS ke atas Pangkalan Bagram

Bernama 21/09/2025 | 09:45 MYT
Pengunduran tentera AS pada 2021 menyebabkan Taliban mengambil alih Pangkalan Udara Bagram. - Gambar fail/Reuters
KABUL: Pegawai Afghanistan dengan tegas menolak ancaman Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan semula Pangkalan Udara Bagram, sambil menegaskan sebarang cubaan menubuhkan semula kehadiran tentera asing akan ditentang habis-habisan, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Afghanistan menolak keras ancaman Amerika Syarikat untuk mengambil semula Pangkalan Udara Bagram, dengan pemimpin tertinggi negara itu menegaskan mereka sanggup berperang semula jika tentera asing cuba kembali.
  • Presiden AS Donald Trump memberi amaran bahawa "perkara buruk" akan berlaku jika Afghanistan tidak menyerahkan semula pangkalan tersebut, dan menyatakan AS sedang berusaha untuk menguasainya kembali.
  • Pangkalan Udara Bagram, yang pernah menjadi pusat operasi AS dan NATO selama dua dekad, kini menjadi titik ketegangan geopolitik selepas pengunduran tentera AS pada 2021.


Timbalan Pertama Direktorat Perisikan Afghanistan, Mullah Tajmir Jawad berkata kerajaan Afghanistan akan mempertahankan sistem sedia ada berhubung tuntutan AS untuk mengambil alih semula pangkalan udara strategik itu.

Nada sama disuarakan Menteri Pertahanan Afghanistan, Mohammad Yaqoob Mujahid.

"Jawapan kami, jika kamu tidak berundur dan mahu pangkalan, kami bersedia untuk berperang dengan kamu selama 20 tahun lagi," katanya kepada media.

Pengarah Politik Kementerian Luar Afghanistan, Zakir Jalaly pula menolak idea kemasukan semula tentera AS dengan menegaskan rakyat Afghanistan "tidak pernah menerima tentera asing di tanah air mereka" dan sebarang dialog dengan Washington mesti mengecualikan soal penempatan semula tentera.

Pangkalan Udara Bagram, terletak kira-kira 50 kilometer di utara Kabul, pernah menjadi pusat operasi AS dan NATO sepanjang perang selama dua dekad.

Sementara itu di Washington, Presiden AS Donald Trump pada Sabtu memberi amaran akan berlaku "perkara buruk" jika Afghanistan tidak "mengembalikan semula Pangkalan Udara Bagram."

"Jika Afghanistan tidak menyerahkan kembali Pangkalan Udara Bagram kepada pihak yang membinanya, iaitu Amerika Syarikat, PERKARA BURUK AKAN BERLAKU!!!" tulis Trump di akaun Truth Social miliknya.

Pengunduran tentera AS pada 2021 menyebabkan Taliban mengambil alih pangkalan itu.

Dalam lawatannya baru-baru ini ke Britain, Trump berkata Amerika Syarikat sedang "berusaha mendapatkan semula" pangkalan itu.

Kenyataan itu menarik perhatian dan mencetuskan spekulasi sama ada AS bercadang untuk menghantar semula tenteranya ke Afghanistan.

Pada Sabtu, Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa Amerika Syarikat kini berbincang dengan Afghanistan mengenai usaha menguasai semula pangkalan itu, dengan berkata: "Kami mahu ia dikembalikan, kami mahu ia dikembalikan segera, serta merta."

"Jika mereka tidak lakukannya, anda akan tahu apa yang akan saya lakukan," kata Trump.

-- BERNAMA




#Pangkalan Udara Bagram #Afghanistan tolak cadangan #ugutan Trump #tentera asing