DUNIA

Pegawai Hamas umum rundingan pertukaran tawanan ditangguh susulan serangan Israel di Doha

Bernama 15/09/2025 | 06:33 MYT
Dalam serangan rejim Israel pada Selasa, delegasi diketuai pegawai kanan Hamas Khalil al-Hayya terselamat, namun lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar terbunuh. - Foto AP
GAZA: Hamas pada Ahad mengumumkan pihaknya menggantung rundingan pertukaran tawanan dengan Israel selepas rejim itu menyasarkan delegasi perundingannya di ibu negara Qatar, Doha minggu lalu, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Hamas gantung rundingan pertukaran tawanan dengan Israel selepas mendakwa delegasi mereka disasarkan dalam serangan udara Israel di Doha, Qatar.
  • Serangan tersebut membunuh lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar, walaupun ketua delegasi Khalil al-Hayya terselamat.
  • Hamas tuduh Netanyahu sengaja gagalkan gencatan senjata, beri amaran serangan Israel boleh ancam nyawa tawanan; Qatar, Mesir dan AS sebelum ini menjadi pengantara rundingan.


"Rundingan tidak boleh diteruskan jika delegasi yang bertanggungjawab terhadapnya diserang di negara yang bertindak sebagai pengantara," kata pegawai kanan Hamas, Tahir al-Nono dalam satu kenyataan.

Hamas mendakwa serangan udara Israel pada Selasa lalu mengenai kawasan kediaman di Doha yang digunakan oleh pemimpinnya ketika membincangkan cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat.

Delegasi diketuai pegawai kanan Hamas Khalil al-Hayya terselamat, namun lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar terbunuh.

Al-Nono menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sengaja menggagalkan usaha mencapai gencatan senjata dan pertukaran tawanan.

Beliau memberi amaran bahawa serangan intensif Israel terhadap menara kediaman di Gaza boleh membahayakan tawanan Israel yang ditahan di situ.

"Satu-satunya penyelesaian logik ialah masyarakat antarabangsa mengeluarkan dan menguatkuasakan keputusan untuk menghentikan perang ini," katanya.

Beliau turut menolak lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio ke Israel pada Ahad, dengan menyatakan Hamas tidak menjangkakan sebarang perubahan dalam pendirian Israel.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika serangan udara Israel sejak beberapa hari lalu memusnahkan bangunan kediaman di Bandar Gaza yang mengorbankan puluhan orang, menurut pegawai kesihatan Palestin.

Israel mendakwa operasi mereka menyasarkan infrastruktur dan pejuang Hamas, manakala pihak Palestin menegaskan orang awam yang paling terkesan.

Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat sebelum ini berusaha menjadi pengantara untuk mencapai gencatan senjata serta pertukaran tawanan sejak perang terbaru di Gaza meletus, namun serangan di Doha menimbulkan keraguan baharu terhadap prospek kemajuan rundingan.

-- BERNAMA






#Hamas #gantung rundingan #serangan Israel #Doha #Qatar #terkini