DUNIA

Pegawai AS, Iraq adakan pertemuan mengenai kerjasama keselamatan

Bernama 07/11/2025 | 13:49 MYT
Pegawai kedua-dua negara akan meneruskan rundingan mereka dalam beberapa bulan akan datang bagi memperkukuh kepentingan bersama. - Adobe Stock
BAGHDAD: Pegawai dari Amerika Syarikat (AS) dan Iraq mengadakan pertemuan di Baghdad bagi membincangkan hubungan keselamatan dua hala, sambil menegaskan komitmen mereka untuk membentuk "fasa baharu" kerjasama, menurut satu kenyataan pada Jumaat, lapor Xinhua.

Jurucakap kepada Panglima Tertinggi Angkatan Bersenjata Iraq Sabah al-Numan berkata dalam kenyataan itu bahawa "fasa baharu" kerjasama keselamatan dua hala "akan terus membolehkan kerajaan persekutuan Iraq memastikan keselamatannya sendiri dan memberikan manfaat ketara kepada rakyat Amerika serta Iraq."

Fasa akan datang bakal memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama keselamatan jangka panjang dan memerangi keganasan, khususnya dalam meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan persekutuan Iraq, termasuk tentera Peshmerga (pasukan Kurdis), menurut kenyataan itu.

Pegawai kedua-dua negara akan meneruskan rundingan mereka dalam beberapa bulan akan datang bagi memperkukuh kepentingan bersama, termasuk "memelihara kedaulatan Iraq, menumpaskan keganasan, mempromosikan kestabilan serantau, serta memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara," tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA



#Amerika Syarikat #Iraq #Hubungan dua hala #rundingan #keselamatan