23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
DUNIA

Pegawai khas dilantik di setiap pasukan polis UK untuk lindungi keselamatan wartawan

Bernama 05/10/2025 | 14:45 MYT
Setiap pasukan polis di United Kingdom (UK) kini mempunyai pegawai khas untuk keselamatan wartawan. - Foto hiasan
LONDON: Setiap pasukan polis di United Kingdom (UK) kini mempunyai pegawai khas untuk keselamatan wartawan, menurut Jabatan Kebudayaan, Media dan Sukan (DCMS), lapor PA Media/dpa.


Ringkasan AI
  • Setiap pasukan polis di United Kingdom kini mempunyai Pegawai Perhubungan Keselamatan Wartawan (JSLO) bagi melindungi wartawan daripada ancaman dan gangguan semasa bertugas.
  • Inisiatif ini merupakan kerjasama antara kerajaan UK, Majlis Ketua Polis Kebangsaan (NPCC) dan media, bagi memastikan keselamatan serta sokongan konsisten kepada wartawan di seluruh negara.
  • JSLO akan memberikan panduan keselamatan sebelum liputan berisiko tinggi dan memastikan jenayah terhadap wartawan direkod serta ditangani dengan sewajarnya.


Dikenali sebagai Pegawai Perhubungan Keselamatan Wartawan (JSLO), mereka adalah titik perhubungan khusus bagi wartawan apabila berhadapan dengan penyalahgunaan dan ancaman keganasan.

Menurut DCMS, pelantikan pegawai di setiap pasukan polis UK adalah sebahagian daripada "perkongsian diperkukuh" antara media, polis dan kerajaan UK.

"Terlalu kerap, wartawan diletakkan dalam bahaya ketika memenuhi peranan penting mereka dalam menyampaikan berita yang tepat kepada orang ramai," kata Menteri Media Ian Murray.

"Adalah wajar mereka berasa disokong dan dilindungi agar mereka boleh menumpukan perhatian untuk menjalankan tugas mereka pada standard tertinggi.

"Dengan melantik Pegawai Perhubungan Keselamatan Wartawan di setiap pasukan polis, saya berharap wartawan akan berasa terjamin kerana mengetahui mereka mempunyai hubungan langsung sekiranya timbul isu."

Kerajaan bekerjasama dengan Majlis Ketua Polis Kebangsaan (NPCC) untuk memastikan setiap pasukan polis mempunyai JSLO, yang sudah wujud di Scotland dan Ireland Utara.

Kini, kesemua 43 pasukan polis di England dan Wales mempunyai JSLO, begitu juga Polis Pengangkutan Britain dan Polis Antikeganasan.

Menurut DCMS, pegawai berkenaan boleh memberikan panduan keselamatan sebelum membuat liputan berisiko tinggi, seperti protes dan memastikan jenayah terhadap wartawan direkodkan dan ditangani secara konsisten.

Semua pegawai ini dilantik sebagai sebahagian pelan tindakan nasional kerajaan untuk keselamatan wartawan.

Menteri Perlindungan Jess Phillips, yang mempengerusikan jawatankuasa nasional bersama untuk keselamatan wartawan, berkata: "Saya sendiri tahu bagaimana rasanya apabila menerima ancaman dan gangguan. Tetapi saya juga tahu pengalaman itu bukan sesuatu yang luar biasa - terlalu ramai yang menghadapi perkara sama ketika menjalankan tugas mereka di khalayak."

"Kerja saya yang lebih luas dalam bidang perlindungan menunjukkan betapa pentingnya menjaga keselamatan mereka yang bersuara, termasuk wartawan. Kerja mereka menjadi tonggak demokrasi kita dan mereka mesti dapat melakukannya tanpa rasa takut," katanya.

Timbalan Ketua Konstabel Sam de Reya, ketua media dan komunikasi NPCC, berkata: "Polis berbangga dapat menyokong usaha ini dan kami akan terus melaksanakan peranan kami dalam memastikan wartawan dilindungi dan diberi kuasa untuk melakukan pekerjaan mereka tanpa rasa takut atau diugut."

-- BERNAMA

#polis UK #lantik pegawai khas #United Kingdom #keselamatan wartawan