DUNIA

Pegawai polis sedar daripada koma selepas serangan Bondi Beach

Bernama 23/12/2025 | 09:25 MYT
Konstabel polis, Scott Dyson, merupakan seorang daripada dua pegawai yang cedera ketika bertindak balas terhadap insiden serangan di Bondi Beach. - AP
LONDON: Seorang pegawai polis yang cedera dalam serangan di Bondi Beach ketika sambutan Hanukkah di Australia telah sedar daripada koma, lapor PA Media/dpa memetik kenyataan keluarganya.

Konstabel polis New South Wales (NSW), Scott Dyson, merupakan seorang daripada dua pegawai yang cedera ketika bertindak balas terhadap insiden berkenaan.

Pihak penyiasat mendakwa Naveed Akram bersama bapanya, Sajid Akram melepaskan tembakan ke arah orang ramai di Archer Park, Sydney pada 14 Dis.

Serangan itu mengorbankan 15 orang dan mencederakan puluhan yang lain.

"Keluarga kami ingin berkongsi bahawa Scott semakin pulih dari hari ke hari.

"Perjalanan pemulihannya masih panjang, namun ini merupakan satu perkembangan yang positif.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan, mesej dan doa yang dititipkan kepada Scott serta keluarga kami dalam tempoh yang sukar ini," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, keluarga seorang lagi pegawai, konstabel percubaan Jack Hibbert memaklumkan pada Selasa bahawa beliau telah dibenarkan keluar dari hospital.

"Walaupun beliau telah pulang ke rumah, Jack masih dalam proses pemulihan dan memerlukan ruang, sokongan serta doa yang berterusan.

"Sebagai sebuah keluarga, kami tidak mampu meminta lebih daripada ini - dapat membawa Jack pulang ke rumah, lebih-lebih lagi menjelang Krismas, benar-benar terasa seperti satu keajaiban," menurut kenyataan keluarganya.

NSW Health pada Selasa memaklumkan seramai 12 pesakit masih menerima rawatan di hospital, dengan empat daripadanya berada dalam keadaan stabil +.

Tertuduh, Naveed Akram, 24, berdepan 15 pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan keganasan, manakala bapanya, berusia 50 tahun, ditembak mati oleh polis di lokasi kejadian.

Naveed Akram turut didakwa atas 40 pertuduhan cubaan membunuh, menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan parah, mempamerkan simbol pertubuhan pengganas yang dilarang di tempat awam serta meletakkan bahan letupan di dalam atau berhampiran bangunan dengan niat mencederakan.

Dia dipindahkan dari hospital ke penjara pada Isnin dan dijadual hadir semula ke mahkamah di Sydney pada tahun baharu.

-- BERNAMA


#polis cedera #Bondi Beach #scott dyson #serangan #Naveed Akram #New South Wales #Australia