Skip to main content

Dunia

Peguam dakwa doktor Palestin alami penderaan teruk ketika ditahan Israel

This image provided by the Physicians for Human Rights Israel (PHRI), Dr. Hussam Abu Safiya is seen on a video call from prison during an Israeli Supreme Court hearing of an appeal by his lawyers to end his detention, in Jerusalem, on June 10, 2026. (Physicians for Human Rights Israel (PHRI) via AP)
Foto ihsan Physicians for Human Rights Israel (PHRI) menunjukkan Dr Hussam Abu Safiya menerusi panggilan video dari penjara ketika prosiding rayuan di Mahkamah Agung Israel di Baitulmaqdis bagi mencabar penahanannya. - Foto AP
Advertisement

GAZA: Seorang peguam yang mewakili doktor Palestin terkenal dari Gaza, Dr Hussam Abu Safiya, mendakwa anak guamnya dipukul dengan teruk ketika ditahan di sebuah pusat tahanan Israel sehingga sukar dikenali, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatannya.

Peguam berkenaan, Nasser Odeh, berkata beliau melawat Dr Abu Safiya di pusat soal siasat Rakefet pada Khamis lalu dan mendapati doktor itu mengalami kecederaan serius akibat dipukul.

Menurut Odeh, Dr Abu Safiya memaklumkan bahawa beliau diserang oleh lebih lima pengawal penjara menggunakan tangan, belantan dan tukul selepas prosiding rayuan terhadap penahanannya di Mahkamah Agung Israel bulan lalu.

Beliau juga mendakwa tidak menerima sebarang rawatan perubatan.

"Lebam jelas kelihatan di muka, sekitar mata, leher dan telinga. Keadaan fizikal, mental dan emosinya amat membimbangkan," kata Odeh sambil menambah anak guamnya menyifatkan kehidupannya di penjara sebagai "neraka" dan percaya ada pihak mahu membunuhnya.

Bagaimanapun, Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) menolak dakwaan itu sebagai tidak benar dan tidak berasas.

Mahkamah Agung Israel mengarahkan kerajaan memberikan maklum balas selewat-lewatnya Selasa terhadap petisyen yang menuntut pembebasan Dr Abu Safiya bersama 13 lagi doktor Palestin dari Gaza yang ditahan tanpa pertuduhan.

Dr Abu Safiya, yang merupakan pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, ditahan pada Disember 2024 selepas tentera Israel mengarahkan pesakit dan kakitangan hospital mengosongkan premis berkenaan dengan alasan ia menjadi kubu kuat pejuang Hamas.

Ketika itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa serangan terhadap hospital di Gaza dihentikan. Gambar yang tular menunjukkan Dr Abu Safiya berjalan menuju sebuah kenderaan berperisai Israel sambil memakai kot putih doktor sebelum dibawa untuk disoal siasat.

Tentera Israel (IDF) sebelum ini berkata Dr Abu Safiya ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti berkaitan keganasan dan memegang pangkat dalam Hamas.

Bagaimanapun, kakitangan perubatan serta pertubuhan bantuan antarabangsa yang pernah bekerjasama dengannya menafikan beliau mempunyai hubungan atau kerjasama dengan Hamas.

Beliau kini ditahan di bawah Undang-Undang Pejuang Tidak Sah Israel, yang membenarkan individu dari Gaza ditahan tanpa pertuduhan bagi tempoh yang tidak ditetapkan jika disyaki menimbulkan ancaman keselamatan.

Kes layanan terhadap tahanan Palestin di penjara Israel terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

Pada November 2025, Jawatankuasa Menentang Penyeksaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap laporan yang menunjukkan wujudnya amalan penyeksaan dan layanan buruk secara meluas terhadap tahanan Palestin.

Pada bulan yang sama, kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Israel, Physicians for Human Rights Israel (PHRI), melaporkan sekurang-kurangnya 94 tahanan Palestin meninggal dunia ketika berada dalam tahanan Israel dalam tempoh kurang dua tahun.

IPS bagaimanapun menegaskan semua tahanan dilayan mengikut undang-undang dan menerima rawatan perubatan berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan Israel, selain menolak dakwaan penderaan, penyeksaan, kebuluran atau penafian rawatan perubatan.

Sementara itu, kumpulan kerja PBB mengenai Penahanan Secara Arbitrari pada Isnin menyifatkan penahanan Dr Abu Safiya sebagai sewenang-wenangnya dan menggesa beliau dibebaskan segera.

Panel pakar bebas itu turut menyatakan kes berkenaan mungkin mencerminkan amalan penahanan sewenang-wenangnya yang lebih meluas di negara tersebut.
 

 

Must Watch Video

Advertisement