DUNIA

Pekerja migran maut selepas terjatuh dari bumbung ketika serbuan imigresen

Astro Awani 13/07/2025 | 03:00 MYT
Van meninggalkan sebuah fasiliti pertanian di mana ejen persekutuan Amerika Syarikat dan pegawai imigresen telah menjalankan satu operasi. - Foto REUTERS
CALIFORNIA: Seorang pekerja migran dikenali sebagai Jaime Alanis disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari ketinggian sembilan meter semasa serbuan imigresen yang tegang di dua ladang ganja di California Selatan, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, menurut kumpulan advokasi pekerja ladang United Farm Workers.

Alanis, yang telah bekerja selama 10 tahun di ladang tersebut, dilaporkan cuba bersembunyi daripada pihak berkuasa sebelum terjatuh dari bumbung rumah hijau.

Dia mengalami kecederaan parah termasuk patah leher dan rusuk, dan meninggal dunia di hospital pada hari berikutnya.

Serbuan oleh ejen imigresen persekutuan menyaksikan penahanan kira-kira 200 individu yang disyaki berada secara haram di AS, serta penyelamatan 10 kanak-kanak migran yang berisiko menjadi mangsa eksploitasi dan pemerdagangan manusia.

Operasi turut mencetuskan pertembungan dengan lebih 500 penunjuk perasaan, menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera.

Susulan insiden tersebut, Hakim Persekutuan Maame Frimpong mengeluarkan perintah sementara untuk menghentikan operasi penahanan secara rambang oleh pentadbiran Trump di tujuh daerah California.

Mahkamah menyatakan bahawa taktik “rondaan berkeliaran” melanggar hak perlembagaan dan menafikan akses kepada peguam.

Glass House Farms kini disiasat atas dakwaan pelanggaran undang-undang buruh kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, syarikat itu menafikan sebarang pengambilan pekerja bawah umur dan menyatakan bahawa mereka mematuhi semua peraturan pengambilan pekerja.

Keluarga Alanis, yang bergantung kepada pendapatannya di AS, menuntut keadilan dan bantuan untuk pengebumian di Mexico.

“Mereka ambil ahli keluarga kami. Kami perlukan keadilan,” kata keluarganya dalam satu kenyataan di laman GoFundMe.






#Jaime Alanis #terjatuh #meninggal dunia #serbuan imigresen