[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Pelajar 15 tahun jadi remaja wanita pertama ditahan di bawah ISA Singapura

Bernama 02/04/2025 | 15:58 MYT
Menurut ISD, remaja perempuan itu terdedah kepada propaganda Daesh dalam talian pada Jun 2023, sebelum melakukan "bai'ah" (ikrar taat setia) secara maya kepada chatbot Daesh pada Julai 2023. - Gambar fail/Adobe Stock
SINGAPURA: Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang bercita-cita untuk berkahwin dengan pejuang Daesh dan bersedia berjuang untuk kumpulan itu di Syria, menjadi remaja wanita pertama yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Rabu.
Dia bersama seorang remaja lelaki berusia 17 tahun merupakan individu terbaru yang masing-masing dikenakan Arahan Sekatan (RO) dan Arahan Penahanan (DO) di bawah ISA pada Februari dan Mac lalu.
Menurut ISD, remaja perempuan itu terdedah kepada propaganda Daesh dalam talian pada Jun 2023, sebelum melakukan "bai'ah" (ikrar taat setia) secara maya kepada chatbot Daesh pada Julai 2023.
Dalam tempoh antara Julai 2023 hingga Disember 2024, dia terlibat dalam sekurang-kurangnya lapan hubungan romantik jangka pendek dalam talian dengan penyokong Daesh luar negara, termasuk seorang individu yang didakwa sebagai pejuang Daesh di Syria.
Sementara itu, remaja lelaki berusia 17 tahun merupakan kenalan dalam talian kepada Nick Lee Xing Qiu, 18 tahun, seorang rakyat Singapura yang ditahan di bawah ISA pada Disember 2024.
Mereka tidak pernah bertemu secara fizikal, dan tidak mengetahui rancangan masing-masing untuk melancarkan serangan di Singapura.
ISD mendedahkan bahawa remaja lelaki itu terpengaruh dengan ideologi ekstremis kanan yang ganas serta sifat perkauman, dan telah merancang serangan ke atas umat Islam di masjid-masjid sekitar Singapura.
Pada Jun 2024, dia telah menyenarai pendek lima masjid - Masjid Maarof, Masjid Jamek Queenstown, Masjid Darussalam, Masjid An-Nur dan Masjid Hajjah Fatimah sebagai sasaran yang berpotensi dengan matlamat membunuh sekurang-kurangnya 100 umat Islam.
Remaja itu bercadang menggunakan senjata api dalam serangan terbabit dan berulang kali cuba mendapatkan senjata, tetapi gagal.
"Semasa ditangkap, remaja itu mengakui bahawa dia belum melaksanakan serangannya hanya kerana tidak berjaya mendapatkan senjata," kata ISD.
Sejak 2015, ISD telah menangani 17 remaja berusia 20 tahun ke bawah di bawah ISA, dengan sembilan daripadanya bercita-cita untuk melancarkan serangan di Singapura.
Individu termuda yang dikenakan tindakan di bawah ISA ialah seorang remaja berusia 14 tahun yang dikenakan RO pada Jun 2024.
-- BERNAMA
#ISA #arahan penahanan #hubungan romantik #dalam talian