Pelajar dipaksa pakai kotak untuk elak meniru

Astro Awani
September 6, 2019 08:36 MYT
Pelajar-pelajar di Bachilleres 01 El Sabina School di Tlaxcala memakai kotak di kepala untuk memastikan mereka tidak meniru semasa menjawab soalan peperiksaan. - Gambar Facebook Diario de Hidalgo
BUNYINYA agak aneh dan kelakar, tetapi realitinya itulah yang berlaku di Mexico apabila pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan harus memakai kotak kadbod di kepala.
Rasional syarat itu dikenakan guru mata pelajaran Etika dan Nilai yang dikenali sebagai Luis Juarez Texis ialah untuk memastikan pelajar-pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan tidak meniru jawapan rakan di sebelah.
Bagaimanapun, tindakan Texis itu hanya mengundang padah buatnya apabila arahan kontroversinya itu dikecam oleh masyarakat.
Bukan sahaja kecaman yang diterimanya, bahkan Texis juga digesa dipecat dari Bachilleres 01 El Sabina School di Tlaxcala.
"Kebanyakan ibu bapa berpendapat tindakan itu sebagai memalukan kelas dan mereka juga meminta pihak berkuasa melindungi hak anak mereka sebagai pelajar.
"'Keganasan' seperti itu tidak boleh diterima," jelas sekumpulan ibu bapa pelajar mengkritik tindakan berkenaan di laman Facebok.
Sebagai maklum balas kepada kritikan yang dibuat ibu bapa, pentadbiran sekolah menjelaskan, tindakan memakai kadbod di kepala pelajar merupakan satu bentuk latihan dinamik
Latihan dinamik itu juga, kata sekolah berkenaan, untuk membantu perkembangan psikomotor pelajar.
"Pelajar-pelajar telah dimaklumkan lebih awal dan mereka bersetuju dengan latihan tersebut. Kami sememangnya menghormati hak individu," kata pihak sekolah berkenaan.
Dalam perkembangan mutakhir, guru yang mengarahkan pelajar-pelajarnya memakai kadbod sudah digantung tugasnya oleh pentadbiran sekolah itu.
Apa yang berlaku di Mexico itu bukan baharu, sebaliknya, pada 2013, tindakan yang sama dilakukan di Kasetsart University, Bangkok, Thailand apabila penuntut-penuntutnya dipaksa mengenakan penutup kepala seakan-akan 'topi keledar' semata-mata kerana tidak mahu mereka meniru.
Bezanya, 'topi keledar' itu dibuat menggunakan kertas yang menutup kiri dan kanan wajah pelajar.
#elak meniru #jawapan peperiksaan #Mexico #pakai kotak #Thailand