Pelajar Malaysia di Indonesia tubuhkan pasukan pertahanan awam hadapi bencana

Hans berkata, latihan pengurusan bencana amat penting bagi pelajar Malaysia di luar negara kerana ia bukan sahaja meningkatkan keselamatan diri, tetapi juga membentuk pelajar yang lebih peka, tangkas dan berdaya tahan. - Gambar PKPMI Pusat
JAKARTA: Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) menubuhkan pasukan pertahanan awam sendiri bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana alam dalam kalangan ahlinya.
Presiden PKPMI Pusat, Hans Joshua Peter berkata pasukan berkenaan, dikenali sebagai "Civil Defence Agency-Emergency Response Team-PKPMI" (CDA-ERT PKPMI), akan melatih pelajar untuk menyesuaikan diri dengan situasi bencana seperti gempa bumi, banjir dan kebakaran, selain bertindak pantas serta tenang ketika menghadapi keadaan sebenar.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar di luar negara, tetapi turut menjadikan mereka sebahagian daripada ekosistem pertahanan awam yang diiktiraf Malaysia.
"Fungsi utama CDA-ERT PKPMI ialah melatih dan meningkatkan kesedaran pelajar agar sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang situasi kecemasan, walaupun berdepan bencana tidak dapat dijangka," katanya kepada Bernama.Terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, Indonesia merupakan antara negara paling kerap dilanda bencana alam di dunia.
Hans berkata, latihan pengurusan bencana amat penting bagi pelajar Malaysia di luar negara kerana ia bukan sahaja meningkatkan keselamatan diri, tetapi juga membentuk pelajar yang lebih peka, tangkas dan berdaya tahan.
Inisiatif itu dizahirkan menerusi "Student's Crisis and Disaster Response Conference" selama tiga hari yang berakhir pada 12 Okt di Malaysia n Hall, pusat kegiatan pelajar dan komuniti Malaysia di Jakarta Pusat.
Seramai 22 peserta menyertai program itu yang terdiri daripada anggota CDA-ERT PKPMI dari pelbagai wilayah di Indonesia, serta disokong "Education Malaysia-Indonesia (EMI)" dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Sepanjang program itu, para peserta membangunkan pelan tindakan kecemasan dan pengurusan bencana serta menyenaraikan garis masa risiko bencana mengikut wilayah masing-masing.
Latihan asas kawad kaki turut diadakan sebagai kesinambungan kepada Kursus Asas Pertahanan Awam yang dijalankan secara dalam talian antara Mac hingga Julai lalu bagi melengkapkan modul latihan CDA-ERT PKPMI.
"Latihan ini menguji kecekapan, kepantasan dan disiplin setiap ahli dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar, selain membina semangat kerja berpasukan," kata Hans.
Menurut beliau, penubuhan CDA-ERT PKPMI, yang pertama seumpamanya di luar negara, memperlihatkan pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap peranan strategik pelajar dalam misi kesiapsiagaan, keselamatan dan khidmat komuniti merentas sempadan geografi.
Pasukan itu turut menjalin kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melalui latihan bersama, kelas maya dan sesi bimbingan bulanan bagi memastikan setiap anggota CDA-ERT sentiasa dikemas kini dengan ilmu serta kemahiran pertahanan awam terkini.
Hans berkata maklum balas pelajar terhadap latihan yang dijalankan amat positif, dengan ramai menyifatkannya sebagai pengalaman berharga yang meningkatkan keyakinan diri, kecekapan tindak balas bencana serta semangat untuk membantu masyarakat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami