[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
INTERNATIONAL

Pelajar melecur, hilang dua jari akibat bateri basikal elektrik meletup

Sinar Harian 24/04/2025 | 00:30 MYT
Kejadian bateri basikal elektrik meletup menyebabkan badan Junhao melecur 90 peratus. - Foto Sinar Harian/Agensi
BEIJING: Seorang pelajar lelaki melecur 90 peratus selepas bateri basikal elektrik milik rakan serumahnya meletup dalam insiden tragik yang turut menyaksikan mangsa terperangkap dalam rumah terbakar.
Mangsa, Du Junhao, 22, pelajar tahun ketiga di Kolej Bandar Wuhan, Hubei, mengalami kecederaan parah selepas rakan serumahnya, Li Jiajun, melarikan diri semasa kebakaran, lalu menutup pintu dan menyebabkan Du tidak dapat menyelamatkan diri.
Insiden berlaku sekitar jam 6 pagi (waktu tempatan) musim panas lalu apabila bateri basikal elektrik yang disewa Jiajun meletup ketika dicas di dalam rumah, mengeluarkan gas beracun dan menyebabkan api marak.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Jiajun berlari keluar ke arah alat pemadam api, tetapi kembali menutup pintu, secara tidak langsung memerangkap Du di dalam rumah.
Akibatnya, Junhao melecur teruk serta mengalami kerosakan pada saluran pernafasan.
Lebih teruk, dua jari kirinya terpaksa dipotong dan beliau telah menjalani 12 pembedahan pemindahan kulit dalam tempoh 10 bulan.
Keluarganya membelanjakan 2.8 juta yuan (RM1.88 juta) untuk kos rawatan dan hanya menerima sumbangan orang ramai sebanyak 2.6 juta yuan (RM1.75 juta).
Mereka kini menyaman Jiajun, tuan rumah dan pengeluar bateri berkenaan namun setakat ini belum mendapat keadilan sewajarnya.
Namun Jiajun hanya membayar pampasan 10,000 yuan (RM6,700) dengan alasan keluarganya miskin.
Jiajun kini ditahan atas kesalahan cuai hingga menyebabkan kecederaan serius dan berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun.
Junhao yang baru menyambut ulang tahun ke-22 bulan ini berkata, dia tidak akan memaafkan rakannya itu.
“Kehidupan saya kini bukan milik saya sahaja. Melihat pengorbanan ibu bapa, saya mahu terus hidup,” katanya. - Sinar Harian memetik agensi
#bateri basikal #meletup #potong jari #melecur