Pelajar sekolah antara mangsa kejadian bangunan runtuh di Nigeria

Agensi
Mac 13, 2019 16:11 MYT
Belum ada maklumat tentang jumlah kecederaan atau kematian. - Foto AP
Kanak-kanak merupakan antara yang dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan sekolah runtuh di Lagos, Nigeria, pada Rabu.
Ibrahim Farinloye, jurucakap agensi kebangsaan Agensi Pengurusan Kecemasan Negara berkata belum ada maklumat tentang jumlah kecederaan atau kematian.
"Tingkat tiga bangunan itu yang menempatkan sebuah sekolah swasta runtuh kira-kira jam 10 pagi," kata Farinloye.
Kawasan insiden itu kini dipenuhi petugas penyelamat dan kerja membersihkan juga sedang dijalankan, lapor Reuters.
Kejadian bangunan runtuh kerap berlaku di Nigeria, dengan penguatkuasaan peraturan yang lemah dan bahan pembinaan yang tidak berkualiti sering menjadi punca utama.
Pada 2016, lebih 100 orang terbunuh apabila sebuah gereja runtuh di tenggara Nigeria.
Di Lagos pada tahun yang sama, bangunan lima tingkat yang masih dalam pembinaan runtuh, menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang maut.
Sebuah sekolah terapung yang dibina untuk menahan ribut dan banjir di Lagos juga runtuh pada tahun 2016, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
#bangunan runtuh #bangunan sekolah runtuh #Ibrahim Farinloye #Kanak-kanak #Lagos #Nigeria