Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Pelan penempatan baharu Israel akan 'kuburkan' idea negara Palestin

Astro Awani 14/08/2025 | 23:00 MYT
Smotrich memegang peta yang menunjukkan pelan penempatan E1 yang telah lama dibekukan, yang bakal memisahkan Baitulmaqdis Timur daripada Tebing Barat yang diduduki. - Foto REUTERS
TEL AVIV: Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, mengumumkan rancangan pembinaan lebih 3,000 unit rumah baharu di kawasan penempatan kontroversi E1 di Tebing Barat yang diduduki, satu langkah yang beliau dakwa akan “menguburkan idea penubuhan negara Palestin”.


Ringkasan AI
  • Israel umum pelan penempatan E1: Menteri Bezalel Smotrich merancang pembinaan 3,401 unit rumah di Tebing Barat, yang dikatakan akan "menguburkan idea negara Palestin".
  • Kecaman antarabangsa dan Palestin: Palestin, Jordan, dan kumpulan hak asasi mengecam pelan itu sebagai ancaman kepada penyelesaian dua negara dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
  • Ketegangan meningkat: Aktiviti penempatan Israel melonjak sejak 2023, ketika beberapa negara Eropah mula menyokong pengiktirafan negara Palestin, mencetuskan bantahan dari Tel Aviv.


Smotrich berkata pembinaan 3,401 unit rumah akan menghubungkan penempatan Maale Adumim dengan Baitulmaqdis, sekali gus memisahkan Tebing Barat dari Baitulmaqdis Timur - kawasan yang diimpikan sebagai ibu negara Palestin masa depan.

“Mereka bercakap tentang impian Palestin, dan kami akan terus membina realiti Yahudi,” katanya dalam sidang media bersama pemimpin organisasi penempatan Yesha Council.

Projek E1 telah dibekukan selama dua dekad kerana bantahan antarabangsa, termasuk dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, yang melihatnya sebagai ancaman kepada penyelesaian dua negara.

Kementerian Luar Palestin menyifatkan pelan itu sebagai lanjutan jenayah penghapusan etnik dan penjajahan, manakala Jordan mengecamnya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

Kumpulan hak asasi Israel, Peace Now, memberi amaran bahawa pelan ini akan “menghancurkan peluang penyelesaian damai dua negara” dan memperdalam pengilhakan wilayah Palestin.

Hamas pula menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada dasar “penjajahan ekstremis” Israel dan menyeru rakyat Palestin untuk menentangnya.

Sejak serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023, aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat meningkat secara mendadak, dengan lebih 700,000 penduduk Israel kini tinggal di kawasan yang diduduki bersama 2.7 juta rakyat Palestin.

Pengumuman ini dibuat ketika semakin banyak negara, termasuk UK dan Perancis, menyatakan hasrat untuk mengiktiraf negara Palestin dalam masa terdekat - satu langkah yang ditentang keras oleh Israel.






#Bezalel Smotrich #rancangan pembinaan #Israel #Palestin