DUNIA

Pelancaran anak patung Barbie autistik terima sambutan positif

Bernama 12/01/2026 | 21:30 MYT
Anak patung itu menampilkan pilihan reka bentuk khusus bertujuan menggambarkan pengalaman unik yang boleh difahami individu autistik. - Foto Instagram/@Barbie
LONDON: Pelancaran julung kalinya anak patung Barbie autistik disambut baik aktivis kempen dan badan amal sebagai satu langkah ke arah representasi yang lebih "tulen, menggembirakan" untuk kanak-kanak "neurodivergent", lapor PA Media/dpa.

Anak patung itu menampilkan pilihan reka bentuk khusus bertujuan menggambarkan pengalaman unik yang boleh difahami individu autistik.

Ini termasuk pakaian longgar bagi memastikan kurang sentuhan fabrik pada kulit dan pandangan mata yang sedikit ke sisi yang menunjukkan bagaimana individu autistik mengelak tatapan mata.

Setiap anak patung juga datang dengan gasing tangan merah jambu untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan fokus serta fon telinga pembatal hingar bagi menyekat bunyi justeru mengehadkan beban deria.

Menurut pencipta anak patung itu, Mattel, rekaan terbaharu itu membolehkan lebih ramai kanak-kanak melihat diri mereka diwakili Barbie.

Produk akhir anak patung berkenaan dicipta dengan input daripada Rangkaian Advokasi Kendiri Autistik (ASAN) dalam usaha untuk mendengar secara langsung daripada komuniti autistik mengenai jenis ciri yang sepatutnya ada pada anak patung itu.

ASAN menyifatkan anak patung berkenaan sebagai satu "pencapaian" dalam representasi dan teruja untuk membantu reka bentuk sambil menambah: "adalah sangat penting bagi golongan autistik muda untuk melihat representasi diri mereka yang tulen dan menggembirakan, dan itulah sebenarnya anak patung ini."

Ciri lain termasuk siku dan pergelangan tangan boleh alih untuk membolehkan gerak isyarat yang mungkin digunakan oleh sesetengah individu autistik bagi memproses maklumat deria atau menzahirkan keseronokan selain peranti skrin sesentuh merah jambu yang melambangkan cara sesetengah individu mungkin menggunakan alat digital untuk membantu komunikasi harian mereka.

Ellie Middleton, penulis autistik yang sering berkongsi pengalamannya dalam talian, menyifatkan anak patung itu sebagai "simbol yang kuat" untuk gadis muda berasa diterima.

"Mempunyai anak patung Barbie autistik membuatkan saya sangat emosi. Statistik menunjukkan bahawa gadis muda selalunya tidak didiagnosis atau salah didiagnosis, justeru untuk mempunyai simbol yang kuat seperti anak patung Barbie autistik ini menggalakkan perbincangan mengenai "neurodivergence" dalam wanita, supaya gadis autistik berasa diterima," katanya.

Mattel sebelum ini mencipta anak patung Barbie berciri diabetik dan kurang upaya penglihatan serta berciri Sindrom Down.

-- BERNAMA









#Barbie #autistik #anak patung #Mattel