DUNIA

Pelancong Malaysia ke Hat Yai kurang guna khidmat pemandu pelancong, industri tempatan terjejas

Astro Awani 14/07/2025 | 06:30 MYT
Semakin ramai rakyat Malaysia melancong ke selatan Thailand secara persendirian menggunakan kenderaan sendiri, menyebabkan penurunan permintaan terhadap khidmat pemandu pelancong tempatan. -Gambar hiasan/Unsplash
SONGKHLA: Trend pelancongan rakyat Malaysia ke selatan Thailand kini berubah apabila semakin ramai memilih untuk melancong secara persendirian menggunakan kenderaan sendiri, sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu pelancong tempatan di Hat Yai, lapor Bangkok Post.


Ringkasan AI
  • Semakin ramai rakyat Malaysia melancong ke selatan Thailand secara persendirian menggunakan kenderaan sendiri, menyebabkan penurunan permintaan terhadap khidmat pemandu pelancong tempatan.
  • Perubahan ini didorong oleh faktor ekonomi dan keinginan pelancong untuk menjimatkan kos, serta kelonggaran undang-undang Thailand yang tidak mewajibkan pemandu pelancong bagi kenderaan persendirian kecil.
  • Pihak berkuasa Thailand merancang insentif baharu untuk menarik semula pelancong berkumpulan dan menyokong industri pandu arah tempatan yang terjejas.


Presiden Persatuan Promosi Pelancongan Songkhla, Songchai Mungprasitthichai, berkata kira-kira 40 peratus pelancong Malaysia kini memasuki wilayah itu sebagai pelancong bebas, berbanding sebelum ini yang lazimnya datang secara berkumpulan menaiki van atau bas dan memerlukan khidmat pemandu pelancong sebaik tiba di sempadan Thailand.

Di bawah undang-undang Thailand, pelancong yang menaiki kenderaan persendirian dengan kapasiti tidak melebihi tujuh orang tidak diwajibkan mengambil pemandu pelancong berlesen.

“Pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini,” katanya.

Witthaya Lim, bekas pengasas bersama Persatuan Pemandu Pelancong Songkhla, menyifatkan fenomena itu sebagai “masalah serius” kerana pelancong bebas tidak memerlukan khidmat pandu arah sepanjang berada di Thailand.

Seorang lagi pemandu pelancong, Amnart Pruekphikul, berkata faktor ekonomi dan keinginan untuk menjimatkan kos menjadi punca utama perubahan corak pelancongan.

Data Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand menunjukkan Malaysia mendahului senarai ketibaan pelancong asing ke negara itu bagi separuh pertama tahun ini, dengan 2.29 juta pelawat, mengatasi China yang mencatat 2.26 juta pelawat.

Sebahagian besar pelancong Malaysia memasuki Thailand melalui sempadan darat di daerah Sadao, Songkhla.

Pihak berkuasa pelancongan Thailand dijangka memperkenalkan insentif baharu untuk menarik semula pelancong berkumpulan dan menyokong kelangsungan industri pandu arah tempatan.











#rakyat Malaysia #selatan thailand #kenderaan sendiri #khidmat pemandu pelancong tempatan