Skip to main content

Dunia

Pelari maraton Singapura, Eugene Lim meninggal dunia pada usia 45 tahun akibat kanser, tiga hari selepas berkahwin

Sumber: Instagram/@so_fieeee, @geniemule)
Pelari maraton Singapura, Eugene Lim, meninggal dunia pada usia 45 tahun selepas bertarung dengan kanser urotelial tahap 4. - Gambar Instagram/@so_fieeee, @geniemule

SINGAPURA: Pelari maraton Singapura, Eugene Lim, meninggal dunia pada usia 45 tahun selepas bertarung dengan kanser urotelial tahap 4.

Mendiang yang merupakan pengasas bersama The High Panthers, sebuah kumpulan larian tempatan yang mengumpulkan dana kebajikan, didiagnosis menghidap penyakit itu pada 2024. 

Advertisement

Beliau meninggal dunia pada Jumaat (10 Apr), menurut kenyataan isterinya, Sofie Chandra, melalui satu hantaran di Instagram pada hari yang sama.

Chandra turut mendedahkan, mereka telah berkahwin pada 7 April, hanya tiga hari sebelum kematian mendiang Eugene.

Dianggap sebagai sumber inspirasi, mentor dan rakan oleh ramai dalam komuniti larian, mendiang Eugene terus berlari dan menjalani latihan untuk perlumbaan walaupun selepas menerima diagnosis penyakitnya.

“Saya menjalani kehidupan setiap hari perlahan-lahan dengan sokongan mereka di sekeliling saya dan terus berusaha ke hadapan dengan sebaik yang saya mampu,” tulis Eugene yang merupakan duta jenama pakaian sukan antarabangsa dalam satu hantaran Instagram pada Jun tahun lalu.

“Dan jika itu bermakna berlatih dan menyertai perlumbaan maraton, maka memang itulah laluan yang akan saya tempuhi dengan niat yang sama untuk menghargai perjalanan ini sebaik mungkin.”

Pada 2020, Eugene menyedari air kencingnya berubah warna selepas salah satu larian rutinnya. 

Pemeriksaan ketika itu tidak menunjukkan sebarang tanda bahaya. 

Namun, keadaan air kencing berwarna perang itu berulang secara berkala dan menjadi semakin kerap pada 2022.

Pada Jun 2024, semasa berada di Johor untuk satu sesi larian, air kencingnya bertukar menjadi merah pekat.

Imbasan tomografi berkomputer (CT scan) kemudian mengesan satu tumor besar di buah pinggang kirinya. 

Ujian lanjut mengesahkan beliau menghidap kanser urotelial tahap 4, yang telah merebak ke paru-paru, leher dan bahagian lain tubuhnya. 

Kanser jenis ini bermula pada tisu yang melapisi sebahagian sistem kencing.

Eugene sebelum itu berada dalam keadaan fizikal yang sangat cergas, katanya dalam satu siri dokumentari CNA On The Red Dot yang mengisahkan golongan milenial yang berjuang melawan kanser tahap 4.

Selepas baru sahaja menamatkan satu kitaran latihan pramusim, beliau merasakan seolah-olah satu suis telah berubah.

“Tubuh saya terasa berbeza daripada yang saya kenali sebelum ini,” katanya.

Tidak seperti penyakit lain seperti cacar air yang mempunyai jangka masa pemulihan yang agak boleh dijangka, kanser adalah berbeza, menurut Eugene.

“Oleh kerana tiada garis masa yang jelas, maka setiap hari perkara ini bermain di fikiran – sama ada dari segi emosi, mental atau fizikal.”

Beliau pada awalnya memberi respons positif terhadap beberapa pusingan rawatan antibody-drug conjugates (ADC), iaitu rawatan yang menggunakan antibodi untuk menghantar ubat secara terus ke sel kanser. 

Bersemangat untuk kembali kepada gaya hidup aktifnya, Eugene kembali berlatih untuk maraton.

Namun, doktor kemudiannya mendapati kanser itu telah menyesuaikan diri, menyebabkan rawatan tersebut tidak lagi berkesan.

Walaupun selepas beralih kepada kemoterapi tradisional – yang terkenal dengan kesan sampingan yang teruk – Eugene terus menjalani latihan, berlari empat kali seminggu.

Ketika didiagnosis, beliau menamakan tumornya sebagai “Caleb” dan melihatnya sebagai sesuatu yang perlu dihadapi dalam kehidupannya, bukannya semata-mata sesuatu yang perlu disingkirkan.

Walaupun Eugene bertekad agar kanser tidak mentakrif dirinya, beliau juga bersikap terbuka mengenai kesan penyakit itu terhadap hidupnya.

“Sama ada pada tahun pertama, tahun kelima, atau ketika dalam pengampunan, saya kini berfikir bahawa mungkin apabila seseorang pernah menghidap kanser, kita tidak pernah benar-benar menjalani kehidupan yang sepenuhnya terpisah daripadanya, dan belajar untuk hidup dengannya adalah antara cabaran paling sukar yang perlu dihadapi,” tulisnya di Instagram.

Menulis tentang keputusannya berkongsi perjalanan hidupnya menerusi program CNA itu, Eugene berkata, beliau melihatnya sebagai peluang untuk meningkatkan kesedaran mengenai peningkatan kes kanser awal yang mengejutkan generasinya, serta untuk “mengembalikan sedikit kuasa kepada diri kita melalui pengesanan awal jika boleh”.

Beliau juga berharap dapat memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang sedang melalui waktu sukar.

“Bukan kesusahan itu yang menentukan siapa diri kita, tetapi bagaimana kita mengharunginya. Kuasa itu milik kita,” katanya.

Selepas kematiannya, ucapan takziah dan penghormatan membanjiri media sosial sepanjang hujung minggu, dengan ramai menyatakan penghargaan atas persahabatan dan bimbingan Eugene. 

Banyak hantaran memuji kekuatan perwatakannya serta sumbangan besarnya kepada komuniti larian. - CNA

 

Must Watch Video