Pelepasan sisa air nuklear Fukushima bermula Khamis - PM Jepun

Bernama
Ogos 22, 2023 03:30 MYT
Fumio Kishida (dua kanan) ketika bertemu dengan menteri Kabinet yang berkaitan. - Foto AP
TOKYO: Pelepasan sisa air penyejuk terawat daripada runtuhan loji nuklear Fukushima ke laut akan bermula pada Khamis, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida membuat pengumuman itu pada Selasa selepas bertemu dengan menteri Kabinet yang berkaitan.
Kishida berkata pelepasan air ke Lautan Pasifik adalah satu perkara yang "tidak boleh ditangguhkan".
Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, pelepasan sisa air berkenaan tidak mendatangkan bahaya kepada manusia, atau alam sekitar, bagaimanapun, nelayan tempatan dan negara jiran seperti China menentang rancangan Jepun.
Loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi mengalami leburan teras pada 2011 akibat kejadian gempa bumi dan tsunami.
Reaktor, walaupun ditutup, masih perlu disejukkan dengan menggunakan air yang disimpan di dalam tangki.
Oleh kerana tiada lagi ruang penyimpanan air yang berbaki, air sepatutnya disalurkan ke lautan melalui terowong sepanjang satu kilometer.
Ia akan ditapis dan dicairkan dengan air laut terlebih dahulu.
Pelupusan 1.3 juta tan air itu dijangka mengambil masa 30 tahun.
-- BERNAMA
#Fumio Kishida #pelepasan sisa air #loji nuklear Fukushima #lautan Pasifik