DUNIA

Pemain bola sepak Palestin maut dalam serangan dron tentera Israel

Agensi 03/07/2025 | 23:20 MYT
Pemain bola sepak Palestin, Muhannad Al-Lelee mengalami kecederaan parah di kepala serta pendarahan teruk pada tengkorak selepas sebuah dron Israel melancarkan peluru berpandu yang mengenai bilik tidurnya pada Isnin.
GAZA: Seorang pemain bola sepak Palestin, Muhannad Al-Lelee disahkan maut selepas rumah keluarganya di Gaza diserang oleh dron tentera Israel.

Perkara itu disahkan Persatuan Bola Sepak Palestin yang memaklumkan Al-Lelee merupakan pemain kelab Khadamat Al-Maghazi.

Menurut kenyataan badan induk itu di platform X, jumlah anggota komuniti sukan Palestin yang terkorban sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada 585 orang - termasuk 265 individu daripada komuniti bola sepak.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Agensi berita rasmi Palestin, WAFA melaporkan, Al-Lelee mengalami kecederaan parah di kepala serta pendarahan teruk pada tengkorak selepas sebuah dron Israel melancarkan peluru berpandu yang mengenai bilik tidurnya pada Isnin.

“Selepas beberapa hari bertarung nyawa di hospital, beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pagi Khamis,” kata WAFA.

Ekoran kejadian itu, rakyat Palestin sekali lagi menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) agar menggantung penyertaan Israel daripada sebarang pertandingan antarabangsa susulan perang berdarah yang berterusan di Gaza. - Agensi







#Perang Israel-Hamas #pemain bola sepak Palestin #Muhannad Al-Lelee #serangan dron Israel