Skip to main content

Dunia

Pemancar radio gelombang sederhana tertinggi dunia dirobohkan

Dua menara kekisi keluli setinggi 355 meter itu runtuh dalam tempoh beberapa saat selepas bahan letupan yang dipasang pada beberapa kabel penyokongnya diledakkan. - https://english.radio.cz/
Dua menara kekisi keluli setinggi 355 meter itu runtuh dalam tempoh beberapa saat selepas bahan letupan yang dipasang pada beberapa kabel penyokongnya diledakkan. - https://english.radio.cz/

Advertisement

PRAGUE: Struktur tertinggi di Republik Czech, pemancar radio Liblice yang dianggap sebagai pemancar penyiaran gelombang sederhana tertinggi di dunia, dirobohkan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Rakaman video menunjukkan dua menara kekisi keluli setinggi 355 meter itu runtuh dalam tempoh beberapa saat selepas bahan letupan yang dipasang pada beberapa kabel penyokongnya diledakkan.

Kira-kira 4.5 kilogram bahan letupan khas digunakan, manakala juruteknik mengambil masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke puncak menara menggunakan lif penyelenggaraan.

Polis mengosongkan kawasan larangan sebelum operasi itu dijalankan. Tarikh perobohan tidak diumumkan lebih awal bagi mengelakkan orang ramai berkumpul untuk menyaksikannya.

Sejarah tapak pemancar itu yang terletak kira-kira 30 kilometer ke timur Prague bermula sejak 1930-an.

Kedua-dua menara kekisi keluli itu masing-masing siap dibina pada 1975 dan 1976, ketika negara berkenaan masih menjadi sebahagian daripada Czechoslovakia.

Siaran pada frekuensi 639 kilohertz suatu ketika dahulu boleh didengar jauh melangkaui sempadan Czech, termasuk di Jerman.

Bagi mengurangkan kos, penyiar awam negara itu menghentikan operasi pemancar gelombang sederhananya pada akhir 2021.

Program Country Radio terus menggunakan pemancar Liblice pada kuasa yang jauh lebih rendah sehingga akhir 2025.

Rancangan untuk memelihara menara berkenaan tidak dapat diteruskan berikutan kos penyelenggaraan dan pemodenan yang tinggi, dianggarkan hampir €7 juta (AS$7.85 juta).

Pihak yang menyokong usaha pemeliharaan menara itu sebelum ini menggesa supaya ia disenaraikan sebagai monumen bersejarah dengan alasan struktur berkenaan merupakan contoh kejuruteraan yang unik. Pihak lain pula berpendapat stesen itu perlu dikekalkan untuk digunakan ketika kecemasan dan bencana.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement