DUNIA

Pemandu gig Indonesia rancang protes besar-besaran, tuntut perlindungan undang-undang

Astro Awani 16/09/2025 | 06:10 MYT
Penunggang motosikal e-hailing bawa bunga untuk diberikan kepada orang ramai termasuk anggota keselamatan dan tentera, semasa perhimpunan menyeru keamanan di Indonesia, 2 September 2025. —Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Gelombang kemarahan dalam kalangan pemandu gig Indonesia semakin memuncak apabila ribuan penunggang motosikal e-hailing dijangka turun ke jalanan sekali lagi pada 17 Sept ini bagi menuntut perlindungan undang-undang dan hak kebajikan yang lebih baik.


Ringkasan AI
  • Ribuan penunggang motosikal e-hailing Indonesia dijangka keluar protes 17 Sept bagi menuntut perlindungan undang-undang dan hak kebajikan lebih baik.
  • Pendapatan rendah dan ketiadaan perlindungan sosial menjadikan mereka simbol krisis pekerjaan, dengan hanya 12% berdaftar dalam skim keselamatan sosial.
  • Protes susulan kematian pemandu muda dan tekanan ekonomi dijangka mencetuskan ketidakstabilan sosial jika tidak ditangani segera oleh kerajaan.


Menurut Pengerusi Garda, Raden Igun Wicaksono, protes kali ini dijangka melibatkan di antara 2,000 dan 5,000 peserta, dengan rancangan untuk demonstrasi lebih besar dalam bulan-bulan akan datang.

“Kami bersedia menjadi pencetus revolusi baharu di Indonesia kerana jutaan rakan kami tidak lagi mampu hidup dengan bermaruah,” katanya, merujuk kepada lebih dua juta penunggang motosikal e-hailing yang kini menjadi liabiliti politik kepada Presiden Prabowo Subianto.

Garda merupakan antara persatuan pemandu e-hailing terbesar di negara itu.

Pemandu yang dikenali sebagai “ojol” (singkatan untuk ojek online) sering dilihat di setiap simpang dan lorong bandar, mengenakan jaket hijau Gojek atau Grab.

Namun di sebalik kehadiran yang meluas, kebanyakan mereka berdepan gaji rendah, tiada perlindungan sosial, dan tekanan ekonomi yang semakin meruncing.

Kajian yang disokong Yayasan Gates mendapati purata pendapatan bulanan pemandu di Jakarta hanyalah sekitar AS$163 (kira-kira RM760), iaitu separuh daripada gaji minimum bandar itu.

Malah, hanya 12 peratus daripada mereka berdaftar dengan skim keselamatan sosial pekerjaan.

Protes terdahulu pada Ogos lalu tercetus selepas kematian tragis seorang pemandu penghantaran berusia 21 tahun, Affan Kurniawan, yang dilanggar kenderaan polis.

Insiden itu mencetuskan rusuhan di beberapa bandar, termasuk pembakaran pejabat kerajaan dan serangan ke atas kediaman ahli politik.

Pakar ekonomi memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan menangani isu ini boleh membawa kepada ketidakstabilan sosial berskala besar.

“Perlindungan undang-undang ibarat injap keselamatan,” kata Dr Fadhil Hasan dari Institute for Development of Economics and Finance.

Sementara itu, kisah-kisah peribadi seperti Aryanti Prihatin Ningrum, 42, yang menjadi pemandu Grab selepas kedai buburnya gulung tikar semasa pandemik, memperlihatkan realiti getir golongan ini.

“Apa yang saya harapkan ialah anak saya dapat masuk universiti dan bantu adik-adiknya nanti,” katanya.

Dengan jaringan solidariti yang kukuh melalui WhatsApp dan komuniti setempat, pemandu ojol kini menjadi suara lantang yang tidak boleh dipandang ringan — bukan sekadar pengangkut penumpang, tetapi simbol krisis pekerjaan Indonesia yang semakin mendalam.







#Affan Kurniawan #rusuhan Indonesia #ojol #tuntut perlindungan undang-undang