DUNIA

Pemandu kereta api maut, 14 cedera selepas tren tergelincir berhampiran Barcelona

Astro Awani 20/01/2026 | 23:15 MYT
Pasukan kecemasan bertindak balas selepas sebuah tren komuter tergelincir apabila tembok penahan runtuh ke atas landasan di Gelida, berhampiran Barcelona, Sepanyol. - Foto AP
BARCELONA: Seorang pemandu kereta api maut manakala sekurang-kurangnya 14 orang cedera selepas sebuah tren komuter tergelincir dalam satu kemalangan berhampiran Barcelona, menurut laporan media tempatan.

Menurut pegawai tempatan, tren Rodalies itu melanggar sebuah tembok penahan yang runtuh ke atas landasan di antara Gelida dan Sant Sadurní pada Selasa malam.

Tahap kecederaan penumpang masih dinilai oleh perkhidmatan kecemasan.

Insiden berlaku ketika ribut kuat melanda timur laut Sepanyol.

Banyak kawasan pantai di timur dan barat laut negara itu berada pada tahap amaran tinggi susulan cuaca buruk.

Ribut salji turut dilaporkan di Pergunungan Pyrenees, manakala ribut di sepanjang pantai Menorca menyebabkan ombak setinggi beberapa meter.

Perkhidmatan kecemasan memaklumkan 11 ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian di Gelida, wilayah Catalonia, kira-kira 35 kilometer barat Barcelona, bagi merawat mangsa yang cedera.

Pasukan bomba tempatan pula berkata 35 kru telah dihantar ke kawasan itu dan seorang penumpang yang terperangkap di dalam tren berjaya diselamatkan.

Dalam kemas kini kemudian, pihak bomba menyatakan tiada lagi individu berada di dalam tren dan operasi menyeluruh sedang dijalankan untuk memastikan tiada mangsa lain tertinggal di lokasi kejadian.

Beberapa mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital berhampiran termasuk Moisès Broggi, Bellvitge dan Vila Franca.

Kemalangan di Catalonia itu berlaku hanya dua hari selepas dua tren berkelajuan tinggi bertembung di Adamuz, Andalusia, dalam salah satu kemalangan rel terburuk di Sepanyol sejak lebih sedekad lalu.

Sekurang-kurangnya 42 orang dilaporkan maut selepas gerabak sebuah tren yang menuju ke Madrid tergelincir, melintasi landasan bertentangan dan bertembung dengan sebuah tren berkelajuan tinggi yang sedang datang.





#tren komuter #Nahas #tergelincir #tembok penahan