Pemandu Tesla dakwa ciri gagal berfungsi punca nahas lapan kenderaan

Faida Rahim
Disember 22, 2022 04:15 MYT
Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Jennifer Homendy mempersoalkan tindakan Tesla memasarkan kenderaan yang gagal berfungsi. - Foto REUTERS
SAN FRANCISCO: Pemandu kenderaan Tesla Model S 2021 yang terlibat dalam nahas lapan kenderaan di Jambatan Teluk San Francisco memaklumkan kenderaan yang sepatutnya bergerak dalam mod Pemanduan Sendiri (FSD) dilaporkan gagal berfungsi.
Memetik CNA, perkara itu didedahkan pihak berkuasa San Francisco selepas kemalangan yang berlaku pada Hari Kesyukuran di Interstate-80 bulan lalu berhampiran Treasure Island mengakibatkan dua remaja dibawa ke hospital sekaligus menyebabkan trafik sesak di lokasi kejadian.
Terdahulu, Ketua Eksekutif Elon Musk memaklumkan perisian Tesla "Full Self-Driving" berpotensi menghasilkan keuntungan besar dalam penjualan kereta elektrik terbesar di dunia.
Namun begitu, disebabkan kenyataan Musk mengenai sistem bantuan pemanduan sendiri yang canggih, Tesla dilaporkan berdepan dengan tindakan undang-undang yang semakin meningkat.
Tesla mengiklankan penjualan perisian FSD bernilai A$15,000 (RM66,525) yang membolehkan kenderaan menukar lorong dan meletak kenderaan sendiri sekaligus dilengkapi ciri 'Autopilot' yang membolehkan kereta memandu dan berhenti tanpa bantuan.
Menurut laporan yang didedahkan atas permintaan Reuters, pemandu Tesla memaklumkan FSD kenderaan gagal berfungsi namun pihak polis masih belum dapat menentukan sama ada perisian beroperasi dengan baik atau sama ada kenyataannya tepat.
Dalam laporan polis berkenaan, pemandu memberitahu kenderaan menukar lorong dengan tidak selamat dan bertukar perlahan untuk berhenti sehingga menyebabkan rantaian kemalangan.
Tambah laporan, pemandu mempersoalkan sekiranya FSD tidak berfungsi, pemandu seharusnya boleh mengawal kenderaan secara manual.
Sementara itu, pihak Tesla dan Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) juga dilaporkan tidak membuat sebarang kenyataan maklum balas sehingga kini.
Terdahulu, Tesla memaklumkan pemanduan automatik memberikan akses kepada ciri bantuan pemandu lebih maju namun turut menekankan "semua kenderaan Tesla memerlukan pengawasan pemandu yang aktif dan tidak berautonomi".
Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Jennifer Homendy mempersoalkan tindakan Tesla memasarkan kenderaan yang gagal berfungsi dan bukan seperti yang diiklankan.
“Tesla harus memastikan ciri kenderaan berfungsi dengan baik bagi memastikan orang ramai selamat menggunakan model tersebut,” katanya.
#Elon Musk #Tesla #pemanduan automatik #Jennifer Homendy