INTERNATIONAL
Pemandu tidak waras rempuh pintu Masjidil Haram
Keadaan kenderaan jenis Hyundai selepas melanggar salah satu pintu Masjidil Haram. -Foto Twitter @makkahregion
JEDDAH:Satu rakaman dramatik memaparkan sebuah kereta yang dipandu laju merempuh pintu masuk Masjidil Haram, Mekah tular di media sosial hari ini.
Memetik laporan media antarabangsa, insiden mengejutkan itu berlaku di pintu 89 pada pukul 10 malam waktu tempatan.
Jurucakap Gabenor wilayah Mekah, Sultan al-Dosari berkata kenderaan tersebut dipandu laju di kawasan dataran selatan Masjidil Haram sebelum merempuh pagar di kompleks masjid.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Berdasarkan rakaman video, pemandu kenderaan jenis Hyundai itu kelihatan meluru ke arah bangunan tersebut sebelum melanggar pintu masuk, mengakibatkan pintu tersebut terbuka.
Anggota keselamatan dilihat bergegas ke lokasi kejadian dan menutup kawasan tersebut.
Pihak berkuasa Arab Saudi kemudian menahan lelaki warga Arab Saudi itu untuk siasatan lanjut.
Pegawai penyiasat memaklumkan pemandu berkenaan berada "dalam keadaan tidak waras."
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.