[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
INTERNATIONAL

Pemangku Presiden Han seru tindakan menyeluruh tangani kebakaran hutan di tenggara Korea Selatan

Bernama 25/03/2025 | 14:59 MYT
Han menggesa kerajaan tempatan supaya "menggerakkan semua sumber pentadbiran yang ada untuk memastikan penduduk di kawasan terjejas dapat berpindah ke lokasi selamat secepat mungkin. - Gambar fail/AP
SEOUL: Pemangku Presiden Korea Selatan Han Duck Soo mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk mengambil langkah menyeluruh bagi memindahkan penduduk dari kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan di tenggara negara itu, lapor agensi berita Yonhap pada Selasa.
Arahan itu dikeluarkan susulan kebakaran hutan yang bermula di Daerah Sancheong pada Jumaat lepas lantas terus merebak dengan pantas ke kawasan berdekatan, disemarakkan oleh angin kering yang kuat.
Api kini telah merebak ke Bandar Andong dan Daerah Cheongsong, menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya korban.
"Han menggesa kerajaan tempatan supaya "menggerakkan semua sumber pentadbiran yang ada untuk memastikan penduduk di kawasan terjejas dapat berpindah ke lokasi selamat secepat mungkin," menurut kenyataan pejabatnya.
Beliau turut mengarahkan agensi berkaitan termasuk Perkhidmatan Perhutanan Korea, Agensi Bomba Kebangsaan dan Kementerian Pertahanan Negara untuk mengerahkan semua peralatan serta anggota yang diperlukan bagi mengawal kebakaran dengan segera.
Selain itu, Han menekankan kepentingan "persiapan rapi melibatkan anggota bomba dan kelengkapan," serta memberi penekanan terhadap keselamatan anggota pemadam kebakaran dan pematuhan ketat terhadap protokol keselamatan.
Pada sebelah petang, Han melawat bilik situasi utama Markas Tindak Balas Bencana dan Keselamatan Pusat di Kementerian Dalam Negeri di Seoul bagi menilai tindak balas kerajaan serta meninjau tahap kerosakan yang berlaku.
-- BERNAMA
#kebakaran hutan #Korea Selatan #Han Duck Soo #pengurusan bencana #pemindahan penduduk