[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
DUNIA

Pemantauan maya tingkatkan penjagaan kesihatan jemaah haji

Bernama 01/06/2025 | 20:40 MYT
Langkah itu sekali gus meningkatkan penjagaan kesihatan digital dan memastikan pemantauan berterusan terhadap tahap kesihatan jemaah. - Gambar hiasan/BERNAMA
MEKAH: King Abdullah Medical City (KAMC) di Mekah, yang merupakan sebahagian penting daripada Kluster Kesihatan Mekah, telah melancarkan perkhidmatan pemantauan kesihatan jarak jauh menggunakan jam tangan pintar bagi menyokong jemaah haji, khususnya mereka yang menerima rawatan menerusi Seha Virtual Hospital.

Langkah itu sekali gus meningkatkan penjagaan kesihatan digital dan memastikan pemantauan berterusan terhadap tahap kesihatan jemaah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Pada masa ini, KAMC sedang memantau keadaan seorang jemaah dari Bangladesh yang telah menjalani pembedahan kecemasan dan berjaya di Pusat Jantung hospital itu selepas diserang sakit jantung yang serius.

Pasukan perubatan khas kini meneruskan pemantauan terhadap keadaan pesakit itu dari jauh menerusi penunjuk penting yang dihantar melalui jam tangan pintar, membolehkannya menunaikan ibadah haji bersama kumpulannya.

Teknologi inovatif itu menggunakan jam tangan pintar canggih yang direka menyerupai jam tangan biasa, bagi memastikan privasi dan keselesaan pesakit tanpa menarik perhatian atau menimbulkan rasa terasing. Pendekatan itu turut memberikan penenteraman psikologi yang penting, melengkapi rawatan perubatan kritikal.

-- BERNAMA






#King Abdullah Medical City #pemantauan kesihatan maya #Seha Virtual Hospital #penjagaan kesihatan #jemaah haji