INTERNATIONAL

Pembantu juruterbang pengsan ketika kapten ke tandas, pesawat disahkan terbang tanpa kawalan

Sinar Harian 20/05/2025 | 04:50 MYT
Lufthansa turut menjalankan siasatan dalaman tetapi tidak mendedahkan hasilnya kepada umum. - Gambar/ AP
SATU laporan siasatan rasmi mendedahkan kejadian cemas yang berlaku tahun lalu melibatkan sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Lufthansa, apabila ia terbang tanpa kawalan juruterbang selama kira-kira 10 minit.


Ringkasan AI
  • Sebuah pesawat Lufthansa dalam penerbangan dari Frankfurt ke Seville terbang tanpa kawalan manusia selama kira-kira 10 minit selepas pembantu juruterbang pengsan dan kapten berada di luar kokpit.
  • Kapten berjaya kembali ke kokpit tepat pada masanya dan membuat keputusan untuk mendarat cemas di Madrid. Pesawat membawa 199 penumpang dan enam kru.
  • Suruhanjaya Sepanyol (CIAIAC) menjalankan siasatan rasmi, manakala Lufthansa turut menjalankan siasatan dalaman tetapi tidak mendedahkan hasilnya kepada umum.


Menurut laporan Suruhanjaya Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Penerbangan Awam Sepanyol (CIAIAC), insiden itu berlaku pada 17 April 2024 ketika pesawat Airbus A321 dalam penerbangan dari Frankfurt, Jerman ke Seville, Sepanyol.

Ketika kejadian, kapten pesawat dilaporkan keluar dari kokpit untuk ke tandas, manakala pembantu juruterbang secara tiba-tiba pengsan, mengakibatkan pesawat berada dalam keadaan hampir cemas tanpa sebarang kawalan manusia.

Difahamkan, pesawat tersebut membawa seramai 199 penumpang dan enam kru ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, kapten berjaya kembali ke kokpit tepat pada masanya dan membuat keputusan segera untuk melakukan pendaratan cemas di Madrid, Sepanyol.

Pembantu juruterbang yang tidak sedarkan diri kemudiannya dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Syarikat penerbangan Lufthansa dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka menyedari tentang laporan siasatan tersebut dan jabatan keselamatan penerbangan mereka turut menjalankan siasatan dalaman.

Namun begitu, Lufthansa tidak mendedahkan hasil siasatan dalaman itu dan hanya menyatakan: “Kami memohon kefahaman anda bahawa kami tidak akan mengulas di luar laporan siasatan,” menurut kenyataan tersebut. - Sinar Harian memetik agensi





#Lufthansa #pembantu juruterbang pengsan #insiden pesawat #tanpa kawalan