Pembantu rumah Indonesia positif koronavirus di Singapura

Asyraf Roslan
Februari 5, 2020 02:47 MYT
Pembantu rumah berusia 44 tahun itu kini sedang dikuarantinkan di Hospital Besar Singapura - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Seorang warga Indonesia yang bekerja di Singapura sebagai pembantu rumah disahkan dijangkiti wabak koronavirus.
Perkara tersebut disahkan Pegawai Kesihatan pada Selasa.
Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah menyatakan bahawa wanita berusia 44 tahun itu kini sedang dikuarantin di Hospital Besar Singapura.
"Dia bekerja sebagai pembantu rumah di sana (Singapura) dan kini dalam pengawasan di Hospital Besar Singapura," katanya.
Kedutaan Indonesia di Singapura dalam kenyataan di akaun Twitter berkata wanita itu tidek pernah berkunjung ke China, sebaliknya dia dijangkiti daripada majikannya yang positif virus berkenaan.

“Ada enam kes baharu koronavirus di Singapura, empat daripadanya kes jangkitan antara manusia dan seorang daripada mangsa itu ialah pembantu rumah warga Indonesia.”

Singapura kini mencatatkan 24 kes koronavirus.
#Indonesia #pembantu rumah #Singapura #Taiwan #wanita