GENEVA: Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menegaskan bahawa sebarang usaha untuk membina semula Gaza mesti berpandukan undang-undang antarabangsa dan piawaian hak asasi manusia, selain memberi amaran terhadap pelan tajaan asing yang didorong oleh "kepentingan neo-kolonial," lapor Agensi Anadolu.
"Hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri tidak boleh dinafikan, ia bukan satu keistimewaan bersyarat," menurut pakar berkenaan dalam satu kenyataan, sambil menekankan bahawa keputusan mengenai masa depan Gaza "seharusnya berada di tangan rakyat Palestin sendiri."
Advertisement
Kenyataan itu disokong oleh beberapa pakar hak asasi manusia dan pelapor khas PBB yang merangkumi bidang perumahan, pelarian, makanan, air, serta hak-hak berkaitan yang lain.
Mereka menyatakan bahawa penduduk mesti dibenarkan untuk terus menetap atau pulang secara sukarela dan selamat ke tanah serta kediaman mereka, dan pilihan pembinaan semula "tidak seharusnya dipaksakan oleh kuasa asing."
Pakar-pakar berkenaan turut memberi amaran kepada para pemimpin agar tidak menganggap Gaza sebagai satu peluang komersial.
"Pemimpin mesti berhenti membuat spekulasi mengenai Gaza sebagai syurga hartanah dan melihatnya sebagai apa yang sedia ada sekarang – sebuah tanah air penduduknya yang hancur akibat perang," kata mereka.
Menurut anggaran, sekurang-kurangnya 92 peratus unit perumahan di Gaza telah musnah atau rosak antara Oktober 2023 hingga Oktober 2025.
Satu analisis baharu oleh pelapor khas PBB mengenai hak perumahan mencukupi yang dipetik oleh pakar itu menyimpulkan bahawa kemusnahan besar-besaran perumahan oleh Israel, yang dirujuk sebagai "domicide" terjumlah sebagai jenayah perang dan mungkin mencapai tahap jenayah terhadap kemanusiaan serta genosid.
"Negara-negara anggota mesti memastikan mereka tidak menyokong keputusan dan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta memastikan 'pembangunan semula' Gaza tidak terus mencabuli hak asasi manusia penduduknya," katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU