Pembukaan semula lintasan Rafah penting untuk salur bantuan ke Semenanjung Gaza - ICRC

Pembukaan semula lintasan sempadan Rafah adalah penting bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan ke Semenanjung Gaza, kata Pengarah Operasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) Yasmine Praz Dessimoz. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Pembukaan semula lintasan sempadan Rafah adalah penting bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan ke Semenanjung Gaza, kata Pengarah Operasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) Yasmine Praz Dessimoz, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Ia memerlukan masa untuk memulihkan kekurangan yang berlaku sepanjang dua tahun lepas dan mengisi semula stok makanan, bekalan perubatan serta barangan keperluan lain yang telah susut.
"Pembukaan semula lintasan Rafah dan aliran bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza adalah perlu bagi memastikan bantuan mencukupi dapat disalurkan dan keperluan asas penduduk dapat dipenuhi," kata Praz Dessimoz.
Beliau berkata ICRC mempunyai ratusan palet bantuan kemanusiaan, termasuk peralatan dan kelengkapan untuk pembaikan serta penyelenggaraan perkhidmatan air dan air buangan, makanan dan barangan isi rumah, serta bekalan perubatan, yang sedia untuk dihantar ke wilayah itu dari Jordan, Mesir dan lokasi lain.
"Kami juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan usaha mendapatkan semula jasad manusia dari bawah runtuhan, bagi membantu keluarga memperoleh jawapan serta memastikan pengendalian mayat secara bermaruah, yang merupakan keprihatinan kemanusiaan yang penting bagi ICRC di mana sahaja kami beroperasi," katanya.
Pada 13 Oktober, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Presiden Mesir Abdel Fattah Sisi, Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menandatangani satu pengisytiharan mengenai gencatan senjata di Gaza.
Lintasan Rafah antara Mesir dan Semenanjung Gaza kekal ditutup selepas perjanjian gencatan senjata antara Israel dan pergerakan Palestin Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober lepas.
--BERNAMA-Sputnik/RIA Novosti
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


