DUNIA
Pembunuhan Jong Nam: Kebajikan Siti Aisyah tetap dijaga sehingga dia didapati bersalah

Polis Malaysia telah menahan empat orang termasuk Siti Aisyah bagi membantu siasatan pembunuhan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) minggu lepas. - Foto PDRM
Malaysia memberi jaminan untuk menjaga kebajikan dan hak wanita warga Indonesia Siti Aisyah yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan rakyat Korea Utara, Kim Jong-nam baru-baru ini.
Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata hari ini, Malaysia berpegang kepada prinsip undang-undang yang menyatakan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
"Disebabkan itu hak dan kebajikan Siti Aisyah di sisi undang-undang akan terjaga, melainkan selepas dia didapati bersalah melalui proses mahkamah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
INFOGRAFIK: Siapa Kim Jong-Nam?
Katanya, Malaysia tidak pernah memberi layanan berbeza terhadap mana-mana rakyat asing yang ditahan polis jika ianya terkait perlanggaran undang-undang.
Beliau berkata, semua pihak haruslah memberi kerjasama supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dan proses penyelesaiannya adalah di mahkamah bagi menentukan seseorang itu bersalah atau tidak.
Beliau berkata Siti Aisyah terpaksa melalui proses undang-undang melalui siasatan termasuk juga dengan siasatan forensik dan setelah itu jika terdapat bukti adanya kes, barulah wanita itu akan dihadapkan ke mahkamah untuk proses pengadilan.
"Disebabkan itu berilah kepercayaan penuh kepada polis Malaysia sebab polis juga sedang bekerjasama dengan pihak Interpol bagi menjalankan siasatan," katanya.
Media tempatan baru-baru ini memetik pihak berkuasa Indonesia meminta agar kerajaan Malaysia memberi peluang kepada pihaknya bertemu Siti Aisyah, 25, yang ditahan.
Polis Malaysia telah menahan empat orang termasuk Siti Aisyah bagi membantu siasatan pembunuhan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) minggu lepas. -- Bernama
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami