Pembunuhan kejam model dari Hong Kong Abby Choi, bekas suami ditahan

Bernama
Februari 26, 2023 03:58 MYT
Empat orang ditahan berhubung kes pembunuhan kejam model dan pempengaruh Abby Choi termasuk bekas suaminya, Alex Kwong. - Gambar Instagram
NEW YORK: Empat orang ditahan berhubung kes pembunuhan kejam model dan pempengaruh Abby Choi, selepas sebahagian anggota badan mangsa yang dikerat ditemukan di sebuah rumah sewa di Hong Kong, menurut polis tempatan pada Sabtu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Bekas suami Choi, Alex Kwong, 28, ditahan di terminal feri di pantai barat laut Pulau Lantau, Hong Kong pada Sabtu dan pihak berkuasa turut merampas wang tunai 500,000 dolar Hong Kong (kira-kira AS$63,700) dan beberapa jam tangan mewah bernilai kira-kira HK$4 juta (AS$510,000).
Ibu bapa Kwong dan adik lelakinya berusia 31 tahun telah pun didakwa kerana membunuh model berusia 28 tahun itu.
Mangsa dilaporkan hilang pada Selasa.
Bekas bapa mertua Choi dipercayai menjadi dalang pembunuhan itu yang dikaitkan dengan harta bernilai jutaan dolar.
Awal minggu ini, pihak berkuasa telah menemukan kaki mangsa yang disembunyikan di dalam peti sejuk di sebuah rumah sewa di Kampung Lung Mei.
Polis turut menemukan tisu manusia dalam periuk sup.
"Kami masih mencari kepala, badan dan tangan yang kami percaya telah dilupuskan," kata Superintendan unit jenayah wilayah Kowloon West, Alan Chung kepada pemberita Sabtu.
Pihak berkuasa percaya isu kewangan antara motif utama dalam pembunuhan itu.
"Kami percaya mangsa dan keluarga bekas suaminya mempunyai pertikaian berkaitan kewangan yang melibatkan jumlah banyak. Seseorang tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengendalikan asetnya," kata Chung. - BERNAMA
#model hong kong #abby choi #Abby Choi dibunuh kejam #pembunuhan kejam