Pemeriksaan keterlaluan di lapangan terbang, Australia minta penjelasan Qatar

Agensi
Oktober 25, 2020 22:45 MYT
Pemeriksaan itu dibuat selepas kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad menemui seorang bayi pramatang ditinggalkan di tandas. - Gambar fail/REUTERS
DOHA: Australia menyuarakan kebimbangan selepas Qatar dilaporkan meminta penumpang wanita menjalani pemeriksaan menyeluruh sebelum menaiki penerbangan dari Doha ke Sydney, 2 Oktober lalu.
Pemeriksaan itu dibuat selepas kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad menemui seorang bayi pramatang ditinggalkan di tandas.
Tidak ada pengesahan sama ada bayi itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Seramai 13 warga Australia dipaksa menjalani pemeriksaan berkenaan.
Mereka dibawa ke ambulans dan diminta untuk menanggalkan seluar dalam sebelum diperiksa, lapor Channel Seven.
Kesemua mangsa tidak diberi sebarang penjelasan mengapa mereka diperiksa sebelum menaiki penerbangan Qatar Airways.
"Kami telah menyuarakan keprihatinan serius mengenai kejadian itu dengan pihak berkuasa Qatar dan telah diberi jaminan bahawa maklumat terperinci akan segera diberikan," kata jurucakap Jabatan Luar Negeri dan Perdagangan Australia.
#Australia #wanita #penerbangan #Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad #mangsa #Sydney #Qatar #pemeriksaan