[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

Pemerintah Indonesia tegaskan semula larangan import beras susulan penghantaran haram

Bernama 24/11/2025 | 09:01 MYT
Pemerintah Indonesia akan menghalang sebarang cubaan membawa masuk beras, khususnya melalui saluran tidak sah. - Adobe Stock
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menegaskan komitmennya untuk mempercepatkan usaha mencapai keterjaminan beras negara dan menghentikan sebarang aktiviti import yang melanggar dasar kerajaan, lapor agensi berita ANTARA.

Menteri Pertanian Andi Amran Sulaiman berkata demikian pada Isnin susulan penemuan 250 tan beras yang memasuki Sabang, Aceh secara haram.

"Presiden Prabowo (Subianto) telah menegaskan bahawa import adalah dilarang kerana kita mempunyai bekalan yang mencukupi," kata Sulaiman.

Pemerintah akan menghalang sebarang cubaan membawa masuk beras, khususnya melalui saluran tidak sah, katanya.

Beliau menegaskan Indonesia tidak mempunyai alasan untuk mengimport beras, sambil merujuk kepada stok nasional yang kukuh dan unjuran pengeluaran 2025 sebanyak 34.77 juta tan berdasarkan data Statistik Indonesia.

Beliau turut mendakwa bahawa larangan import itu telah menyumbang kepada penurunan harga beras global dan menyatakan beras dari Vietnam dan Thailand menjadi lebih murah kerana langkah yang diambil Indonesia.

"Pemimpin negara lain telah meminta Presiden Prabowo supaya mengeksport ke Indonesia, walaupun dalam jumlah kecil.

"Kami menjelaskan bahawa beras di negara ini mencukupi, malah kami menganggarkan harga beras pada hujung tahun akan menjadi yang tertinggi," ksta beliau.

Mengulas mengenai kemasukan haram seberat 250 tan itu, beliau berkata pemerintah bertindak segera selepas menerima maklumat awal tentang kemasukan beras tanpa permit.

Menteri itu berkata pihaknya telah bekerjasama dengan agensi berkaitan dan segera menyita penghantaran berkenaan.

Pada Ahad, Sulaiman mengumumkan sebuah gudang milik PT MSG yang didakwa mengimport beras dari Thailand tanpa kebenaran telah disita.

"Kami telah menyita kemudahan itu dan kami meminta agar pihak bertanggungjawab disiasat," katanya.

-- BERNAMA


#Indonesia #larangan #import beras #penghantaran haram