KUALA LUMPUR: Pemikiran ahli falsafah Islam abad ke-12, Shihab al-Din Yahya Suhrawardi, berpotensi menjadi asas dalam memperkukuh hubungan intelektual, akademik dan diplomasi budaya antara Iran dan Malaysia.
Kaunselor Kebudayaan Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia (ICCM) Habibreza Arzani berkata, warisan falsafah Suhrawardi menyediakan platform bersama bagi memperluaskan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan dialog antara budaya.
“Sebagai dua pusat penting tamadun Islam di Asia Barat dan Asia Tenggara, Iran dan Malaysia berkongsi kepentingan dalam memartabatkan warisan intelektual, nilai-nilai etika serta diplomasi budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi artikel bertajuk Shihab al-Din Suhrawardi: The Philosopher of Illumination and a Bridge for Iran–Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
Arzani berkata, falsafah Pencerahan (Hikmat al-Ishraq) yang diasaskan Suhrawardi atau digelar Syakh al-Ishraq menggabungkan pemikiran rasional, intuisi, pengalaman kerohanian serta hikmah Parsi dalam kerangka falsafah Islam.
Jelasnya, pendekatan itu tidak melihat ilmu hanya diperoleh melalui penaakulan logik semata-mata, sebaliknya turut menekankan pembentukan akhlak, pengalaman rohani dan intuisi sebagai sebahagian daripada proses memperoleh pengetahuan yang hakiki.
“Dalam era yang dicirikan oleh kemajuan teknologi tetapi pada masa sama berdepan cabaran etika dan kerohanian yang semakin kompleks.
“Penekanan Suhrawardi terhadap hikmah, keadilan, cahaya serta keharmonian antara akal dan kerohanian masih amat relevan bagi masyarakat yang menginginkan pembangunan insan yang seimbang,” katanya.
Mengulas hubungan Iran dan Malaysia, Arzanin berkata universiti di kedua-dua negara boleh memperkukuh kerjasama melalui penyelidikan bersama dalam bidang falsafah Islam, etika dan tamadun perbandingan.
Beliau turut mencadangkan karya-karya utama Suhrawardi diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan ulasan ilmiah, selain penganjuran persidangan tahunan dan program pertukaran pelajar serta pensyarah bagi memperkukuh jaringan akademik antara kedua-dua negara.
“Warisan intelektual Suhrawardi boleh menjadi jambatan yang bermakna dalam memperluaskan hubungan budaya dan akademik antara Iran dan Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, dalam dunia yang semakin saling berhubung, diplomasi budaya tidak lagi bergantung semata-mata kepada hubungan politik, sebaliknya semakin diperkukuh melalui perkongsian warisan intelektual dan ketamadunan.
“Suhrawardi ialah seorang tokoh falsafah sejagat yang pemikirannya melangkaui sempadan geografi dan mazhab. Falsafah beliau menggalakkan dialog antara akal dan wahyu, falsafah dan tasawuf, serta intelek dan etika,” katanya lagi
Beliau berkata, sambutan ulang tahun Shaykh al-Ishraq bukan sekadar mengenang sumbangan seorang ahli falsafah agung.
Tambahnya, ia merupakan peluang untuk menghidupkan semula tradisi hikmah yang mampu memperkukuh penyelidikan falsafah, diplomasi budaya, kerjasama akademik dan persefahaman antara Iran dengan Malaysia.