Pemilihan Speaker Dewan AS, Steve Scalise tarik diri

Bernama
Oktober 13, 2023 06:45 MYT
Sebilangan anggota Republikan tidak menyokong Scalise, termasuk penyokong Jordan yang menyokong bekas presiden Donald Trump dan merupakan sekutu Kevin McCarthy. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Ketua Majoriti Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Steve Scalise pada Khamis mengumumkan menarik diri daripada pemilihan Speaker Dewan Perwakilan selepas gagal mendapat sokongan yang mencukupi daripada Parti Republikan, lapor Xinhua.
"Saya baru sahaja berkongsi dengan rakan sekerja bahawa saya telah menarik diri sebagai calon speaker," kata Scalise.
Pada Rabu, Scalise, calon Republikan di Dewan Perwakilan AS memenangi pencalonan menerusi undian 113-99 ke atas pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Dewan dan pengasas bersama kelab konservatif House Freedom Caucus, Jim Jordan.
Kemenangan Scalise yang hanya mendahului 14 undi menunjukkan perpecahan serius dalam kalangan Republikan di Dewan Perwakilan.
Sebilangan anggota Republikan tidak menyokong Scalise, termasuk penyokong Jordan yang menyokong bekas presiden Donald Trump dan merupakan sekutu Kevin McCarthy.
Pemecatan McCarthy sebagai Speaker Dewan telah mendedahkan perpecahan yang semakin ketara antara golongan konservatif dan "moderates" dalam Republikan.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Speaker Dewan Perwakilan #Steve Scalise #tarik diri