INTERNATIONAL

Pemimpin Arab gesa perpaduan tangani cabaran serantau, promosi keamanan

Bernama 18/05/2025 | 08:00 MYT
Pemimpin Arab menghadiri sidang kemuncak Liga Arab ke-34, di Baghdad. - Gambar/ Reuters
BAGHDAD: Pemimpin dan ketua delegasi yang menghadiri Sidang Kemuncak Liga Arab ke-34 di Baghdad pada Sabtu menekankan keperluan menyatukan usaha untuk mengatasi cabaran di rantau Arab dan mewujudkan keamanan selaras dengan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),berdasarkan penghormatan terhadap kedaulatan negara dan semangat kejiranan baik.


Ringkasan AI
  • Pemimpin Liga Arab menekankan pentingnya kerjasama serantau bagi menangani cabaran politik, ekonomi dan keselamatan, serta memelihara kedaulatan negara dan keamanan sejagat.
  • Sidang kemuncak membincangkan strategi keselamatan makanan, cadangan penubuhan majlis menteri perdagangan Arab, dan pengukuhan integrasi ekonomi serta pembangunan mampan.
  • Beberapa negara menyambut baik langkah pemulihan Syria dan menyeru penyelesaian adil terhadap konflik Palestin, sambil menekankan keperluan tindakan kolektif terhadap isu-isu seperti pengangguran, perubahan iklim dan perpindahan paksa.


Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit dalam ucapannya menyatakan bahawa perkembangan global yang pesat dan cabaran ekonomi menyerlahkan kepentingan Sidang Kemuncak Baghdad.

Beliau menyatakan bahawa strategi keselamatan makanan Arab yang komprehensif telah disediakan dan akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak Pembangunan Ekonomi dan Sosial Arab.

Beliau turut menekankan bahawa Sidang Kemuncak Pembangunan sedang meneliti cadangan untuk menubuhkan majlis menteri khusus dalam Liga Arab yang terdiri daripada menteri perdagangan Arab, bertujuan meningkatkan sistem pertukaran perdagangan.

Menteri Luar Syria Asaad Al-Shibani menyifatkan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump untuk menarik balik sekatan ke atas Syria sebagai langkah penting ke arah pemulihan dan pembinaan semula negara.

Beliau berkata keputusan itu mencerminkan usaha diplomatik Arab yang ikhlas dan menghasilkan keputusan ketara, diterajui oleh pengantaraan berkesan dari Arab Saudi dan Turkiye pada detik bersejarah yang kritikal.

Perdana Menteri Negara Palestin Mohammed Mustafa menegaskan komitmen kerajaannya untuk bekerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa bagi mencapai keselamatan, kestabilan, menamatkan peperangan serta memajukan pembinaan semula, pembangunan mampan dan keamanan yang adil dan menyeluruh selaras legitimasi antarabangsa serta Inisiatif Keamanan Arab.

Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam menyatakan kesediaan negaranya untuk bekerjasama dengan rakan kongsi Arab dalam menangani cabaran serantau yang semakin meningkat, yang mengancam pertumbuhan, keadilan sosial, peningkatan kadar pengangguran belia, serta isu berkaitan alam sekitar, iklim, krisis perpindahan paksa dan pembinaan semula pascaperang.

Menteri Luar Algeria Ahmed Attaf menegaskan komitmen negaranya untuk menyumbang kepada integrasi ekonomi Arab dan peranan aktifnya dalam mengeratkan hubungan antara negara Arab.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez pula menyeru supaya tekanan ditingkatkan terhadap pendudukan Israel bagi menghentikan serangannya ke atas Gaza, sambil memajukan penyelesaian politik ke arah keamanan.

Presiden Yaman Rashad Al-Alimi menegaskan komitmen negaranya untuk memperkukuh keselamatan dan keamanan negara Arab, serta mempertahankan kepentingan penting dan isu strategik.

Menteri Luar Djibouti Abdulkadir Hussein Omar pula menyatakan bahawa situasi semasa di dunia Arab bukan sekadar krisis sementara, sebaliknya adalah titik perubahan bersejarah yang memerlukan pendirian serius demi kepentingan kolektif rakyat Arab.

Menteri Luar Tunisia Mohamed Ali Nafti juga menekankan kepentingan mempergiatkan usaha dan kerja bersama untuk memenuhi aspirasi rpenduduk Arab dan menyokong pembangunan mampan.

Sementara itu, Menteri Luar Mauritania Mohamed Salem Ould Merzouk menyeru pengukuhan kerjasama ekonomi dan pembangunan antara negara Arab bagi mencapai perpaduan dan integrasi serantau melalui usaha mempercepat integrasi ekonomi dan penggabungan.

-- BERNAMA



#Arab Saudi #Asia Barat #Sidang Kemuncak Liga Arab #Syria