[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
DUNIA

Pemimpin Asia suarakan kebimbangan terhadap tarif Amerika Syarikat

Bernama 31/05/2025 | 23:40 MYT
Gan menggesa negara Asia supaya bersatu dalam menangani isu perdagangan berpunca daripada tarif AS dan menekankan kepentingan memperluas kerjasama melalui ASEAN dan CPTPP. - Foto Nikkei Asia
TOKYO: Pemimpin politik dan bekas ketua negara dari seluruh Asia menyuarakan kebimbangan terhadap dasar tarif Amerika Syarikat (AS), sambil menyeru kepada perpaduan lebih kukuh dalam kalangan negara Asia bagi menangani cabaran bersama, lapor Xinhua.

Berucap pada Forum Antarabangsa Masa Hadapan Asia edisi ke-30 yang berlangsung di Tokyo dari 29 hingga 30 Mei, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong memberi amaran bahawa sistem perdagangan global kini terancam.

Beliau menggesa negara Asia supaya bersatu dalam menangani isu perdagangan berpunca daripada tarif AS dan menekankan kepentingan memperluas kerjasama melalui ASEAN dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), khususnya dalam bidang perdagangan dan perindustrian.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet pula berkata, perang dagang menjejaskan sistem perdagangan pelbagai hala yang bebas, terbuka, terangkum dan berteraskan peraturan, serta memberi kesan tidak seimbang kepada golongan paling terdedah.

Beliau menyeru perpaduan dalam kalangan negara-negara yang berdepan tekanan berkaitan tarif.

Presiden Laos, Thongloun Sisoulith menekankan kepentingan kewujudan bersama secara aman dan saling menghormati, sambil menyatakan bahawa walaupun perdagangan Laos dengan AS adalah terhad, tarif tinggi tetap berpotensi menjejaskan ekonominya dan iklim pelaburan.

Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Chi Dung berkata, tarif AS memberi kesan ketara terhadap eksport dan pelaburan Vietnam.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pula mengkritik langkah tarif oleh AS, sambil menyatakan bahawa ia boleh menjejaskan ekonomi negara itu sendiri dan meningkatkan kos sara hidup rakyat Amerika.

Sejak dimulakan pada 1995, forum Masa Hadapan Asia yang dianjurkan setiap tahun oleh Nikkei Inc, menjadi platform penting bagi membincangkan kerjasama serantau.

Forum tahun ini memberi tumpuan kepada cara rantau Asia boleh memupuk kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama.

--BERNAMA-XINHUA







#Forum Antarabangsa Masa Hadapan Asia #perdagangan global #Gan Kim Yong #tarif AS