DUNIA

Pemimpin dunia bersatu perangi krisis iklim menjelang siding kemuncak Amazon

Astro Awani 06/11/2025 | 03:30 MYT
Sidang kemuncak ini fokus kepada pengurangan karbon, perlindungan biodiversiti dan sokongan kepada negara membangun. - Foto AP
BELEM: Seramai 50 ketua negara dan kerajaan dijangka berhimpun di bandar Belém, Brazil pada Khamis dan Jumaat ini bagi menunjukkan komitmen global terhadap isu perubahan iklim menjelang rundingan tahunan COP30 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Ringkasan AI
  • Seramai 50 ketua negara dan kerajaan berhimpun di Brazil menjelang COP30 untuk memperkukuh komitmen iklim global, bertepatan dengan ulang tahun ke-10 Perjanjian Paris.
  • China dan India hanya menghantar wakil menteri, manakala AS tidak hadir langsung, menimbulkan cabaran dalam mencapai konsensus iklim.
  • Sidang kemuncak ini fokus kepada pengurangan karbon, perlindungan biodiversiti dan sokongan kepada negara membangun, dengan lebih 50,000 peserta dijangka hadir.


Sidang kemuncak yang berlangsung di tengah-tengah hutan hujan Amazon ini dilihat sebagai simbolik dan strategik, memandangkan kawasan tersebut merupakan antara ekosistem paling rapuh di dunia.

Ia juga menandakan ulang tahun ke-10 Perjanjian Paris, yang menjadi tonggak utama dalam usaha mengekang pemanasan global.

Antara pemimpin yang dijangka hadir termasuk Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Namun, beberapa kuasa besar seperti China dan India hanya menghantar wakil peringkat menteri, manakala Amerika Syarikat tidak menghantar sebarang delegasi rasmi, dengan Presiden Donald Trump sebelum ini menyifatkan sains iklim sebagai “penipuan”.

Menurut penganjur, sidang ini bertujuan memperkukuh komitmen negara-negara terhadap pengurangan pelepasan karbon, perlindungan biodiversiti, dan pembiayaan iklim untuk negara membangun.

Namun, ketidakhadiran AS dan tekanan ekonomi global dijangka menjadi cabaran utama dalam mencapai konsensus yang bermakna.

Belém, sebuah bandar berpopulasi 1.4 juta orang, kini bersiap sedia menerima lebih 50,000 peserta termasuk wakil kerajaan, aktivis alam sekitar dan media antarabangsa.

Harga penginapan dilaporkan meningkat mendadak, dan kumpulan alam sekitar memberi amaran tentang risiko pengecualian komuniti tempatan daripada proses rundingan.

Sidang kemuncak ini dijangka membuka jalan kepada COP30 yang akan bermula minggu hadapan, dengan tumpuan kepada pelaksanaan sebenar janji iklim yang telah lama tertangguh.








#COP30 #Sidang Kemuncak Amazon #krisis iklim #Perjanjian Paris