DUNIA

Pemimpin dunia sokong penubuhan negara Palestin di PBB, cabar pendirian AS dan Israel

Agensi 23/09/2025 | 00:20 MYT
Puluhan pemimpin dunia berhimpun di New York pada Isnin (22 Sept) untuk menyatakan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin, langkah diplomatik bersejarah hampir dua tahun selepas tercetusnya perang di Gaza. - Gambar Reuters
NEW YORK: Puluhan pemimpin dunia berhimpun di New York pada Isnin (22 Sept) untuk menyatakan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin, langkah diplomatik bersejarah hampir dua tahun selepas tercetusnya perang di Gaza.

Terbaharu, pengumuman dibuat Presiden Perancis, Emmanuel Macron bahawa negaranya akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada sidang yang turut dianjurkan bersama Arab Saudi.

Perkembangan itu dilihat mampu menyuntik semangat baharu kepada rakyat Palestin, walaupun tidak dijangka membawa perubahan segera di lapangan.

Kerajaan Israel pimpinan paling kanan dalam sejarah negara itu sebelum ini menegaskan tidak akan membenarkan kewujudan negara Palestin, sebaliknya terus memperhebat operasi ketenteraan terhadap Hamas di Gaza, susulan serangan 7 Oktober 2023 yang mengorbankan sekitar 1,200 rakyat Israel.

Israel menerima kecaman meluas berhubung tindakan ketenteraan di Gaza, yang menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Israel memulakan serangan darat besar-besaran di Gaza City, dengan prospek gencatan senjata yang semakin pudar.

“Kita mesti membuka laluan kepada perdamaian,” tegas Macron dalam ucapannya.

“Kita mesti lakukan segala yang terdaya untuk mempertahankan kemungkinan penyelesaian dua negara – Israel dan Palestin hidup berdampingan dalam keamanan serta keselamatan,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Turut berucap pada sesi itu ialah Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Kanada, Mark Carney serta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Beberapa negara Eropah seperti Andorra, Belgium, Luxembourg dan San Marino dijangka turut mengumumkan pengiktirafan terhadap Palestin sebelum Perhimpunan Agung PBB minggu ini, selepas Australia, Britain, Kanada dan Portugal berbuat demikian hujung minggu lalu.

Malta turut mengisytiharkan sokongan lebih awal pada Isnin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang tidak dapat hadir selepas visa AS beliau ditolak oleh Washington, berucap melalui sidang video dengan menyeru lebih banyak negara menyokong Palestin.

“Kami menggesa agar Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB,” katanya sambil berjanji melaksanakan pembaharuan serta pilihan raya dalam tempoh setahun selepas gencatan senjata.

Buat masa ini, Palestin hanya berstatus pemerhati di PBB tanpa hak mengundi. Keanggotaan penuh memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan PBB, di mana AS memiliki kuasa veto.

Sementara itu, AS dan Israel memboikot mesyuarat berkenaan.

Duta Israel ke PBB, Danny Danon berkata, pengumuman pengiktirafan itu akan diteliti selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kembali dari Washington, di mana beliau dijadual bertemu Presiden AS, Donald Trump.

AS sebelum ini memberi amaran bahawa pengiktirafan Palestin hanya akan menambah masalah, menurut Setiausaha Negara, Marco Rubio.

Walaupun majoriti negara Eropah kini mengiktiraf Palestin, dua ekonomi terbesar benua itu – Jerman dan Itali – masih keberatan.

Berlin menegaskan, pengiktirafan hanya wajar dilakukan pada penghujung proses politik, manakala Rom berpendapat langkah itu boleh “memberi kesan sebaliknya.”

Israel pula dilaporkan sedang menimbang tindakan balas termasuk menggabungkan sebahagian wilayah Tebing Barat yang diduduki.

Namun, langkah itu dijangka menjejaskan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), antara negara Arab yang menormalisasikan hubungan dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham pada 2020.

UAE memberi amaran sebarang rancangan pengilhakan akan melemahkan semangat perjanjian tersebut.

AS turut mengingatkan kemungkinan ada akibat bagi negara yang mengenakan tindakan terhadap Israel, termasuk Perancis selaku penganjur sidang berkenaan. - Reuters



#negara Palestin #pemimpin dunia #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Emmanuel Macron