DUNIA

Pemimpin Eropah sambut baik pengumuman AS mengenai Greenland, tarif

Bernama 22/01/2026 | 08:34 MYT
Pemimpin Eropah menyambut baik Trump yang menolak untuk mengambil Greenland secara paksa dan menghentikan perang perdagangan. - Reuters
ISTANBUL: Pemimpin Eropah menyambut baik pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengenai rangka perjanjian berhubung Greenland dan keputusannya untuk menggantung tarif yang dirancang ke atas beberapa negara Eropah, lapor Anadolu Ajansi.

"Hari ini berakhir dengan keadaan yang lebih baik. Kami menyambut baik POTUS (Trump) telah menolak untuk mengambil Greenland secara paksa dan menghentikan perang perdagangan.

"Kini, mari kita duduk dan berbincang bagaimana kita boleh menangani kebimbangan keselamatan Amerika di Artik sambil menghormati batas yang ditetapkan KoD (Kerajaan Denmark)," menurut Menteri Luar Denmark Lars Lokke Rasmussen di X.

Perdana Menteri Belanda Dick Schoof menyifatkan ia sebagai sesuatu yang positif dan ketegangan semakin reda serta tarif kini tidak lagi menjadi isu sambil beliau mengulangi kepentingan bekerjasama dengan AS, Kanada dan Eropah dalam NATO demi mengukuhkan keselamatan di rantau Artik dan menentang ancaman dari Rusia dan China.

"Bagus bahawa Trump kini menarik balik tarif terhadap kami yang telah menyokong Denmark dan Greenland. Tuntutan untuk penetapan semula sempadan telah menerima kritikan keras yang sewajarnya. Itulah juga sebabnya kami berulang kali menyatakan bahawa kami tidak akan membiarkan diri kami diugut. Nampaknya kerja kami bersama sekutu telah mendatangkan kesan," menurut Menteri Luar Sweden Maria Malmer Stenergard di X.

Menteri Kewangan Sweden Elisabeth Svantesson turut mengalu-alukan pengumuman itu, menggariskan bahawa tekanan Eropah telah memberikan kesan.

"Kerajaan secara konsisten menegaskan bahawa pemerasan berhubung isu Greenland adalah tidak masuk akal. Namun ia juga menekankan apa yang saya katakan beberapa kali: kita hidup dalam dunia baharu yang tidak menentu, tetapi kita juga menentukan nasib kita sendiri. Saya akan meneruskan usaha untuk menjadikan ekonomi kita 'bebas Trump'," katanya.

"Kita tidak boleh leka dan berpuas hati," tambah Svantesson.

Sementara itu, Naib Canselor Jerman Lars Klingbeil memberitahu stesen televisyen ZDF bahawa tekanan dalam AS dan daripada Eropah mempengaruhi Trump untuk menarik balik tarif punitif yang diumumkannya sebelum ini ke atas beberapa negara Eropah.

"Terdapat kritikan yang kian meningkat di Amerika Syarikat dan kritikan yang semakin lantang dari Eropah dan juga di peringkat antarabangsa, dan saya fikir itu turut mengubah sesuatu bagi Donald Trump," katanya.

Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni turut menyambut baik pengumuman menerusi X itu dengan menekankan bahawa "adalah penting untuk terus memupuk dialog antara negara bersekutu."

Trump pada Rabu berkata di platform Truth Social bahawa rangka kerja untuk perjanjian yang melibatkan Greenland dan wilayah Artik telah dibangunkan selepas pertemuannya dengan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte di Davos, Switzerland.

"Berdasarkan perjanjian ini, saya tidak akan mengenakan tarif yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Feb," katanya.

Minggu lepas, Trump berkata Washington akan mengenakan 10 peratus tarif ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, UK, Belanda dan Finland bermula 1 Feb, yang akan meningkat kepada 25 peratus pada Jun melainkan terdapat perjanjian untuk "pembelian lengkap dan total Greenland."

Greenland menarik perhatian Trump kerana kedudukan di Artik yang strategik, sumber mineral dan dakwaan kebimbangan mengenai kehadiran Rusia dan China yang semakin meningkat.

Denmark dan Greenland menolak cadangan untuk menjual wilayah berkenaan sekali gus menegaskan kedaulatan Denmark ke atas pulau itu.

-- BERNAMA


#pemimpin Eropah #Donald Trump #Greenland #perdagangan #tarif