DUNIA

Pemimpin Eropah sambut baik usaha diplomasi diketuai AS berkaitan Ukraine

Bernama 08/08/2025 | 01:50 MYT
Putin (kiri) berjabat tangan dengan Witkoff (kanan) ketika pertemuan mereka yang berlangsung selama tiga jam di Kremlin, Moscow, Rusia, 6 Ogos 2025. (Foto AP)
ISTANBUL: Pemimpin Eropah pada Khamis menyatakan sokongan terhadap usaha diplomasi baharu bagi menamatkan perang di Ukraine, selepas pertemuan penting antara Utusan Khas Amerika Syarikat Steve Witkoff dan Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow, lapor Anadolu Ajansi.

Canselor Jerman Friedrich Merz berkata beliau membincangkan hasil pertemuan itu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan menyambut baik inisiatif pengantaraan Washington.

"Kami berdua berterima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat atas usaha pengantaraannya dan sentiasa berhubung rapat dengan Amerika Syarikat serta rakan kongsi Eropah," kata Merz dalam hantaran di platform X.

Presiden Perancis Emmanuel Macron mengesahkan beliau turut berbincang dengan Zelensky dan beberapa pemimpin Eropah lain bagi menilai perkembangan terkini.

Macron mengulangi sokongan penuh Perancis terhadap gencatan senjata, yang disifatkannya sebagai langkah penting ke arah rundingan yang dapat menjamin hak sah Ukraine serta keselamatan semua rakyat Eropah.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pula berkata beliau membincangkan prospek keanggotaan Ukraine dalam EU dan pelan pemulihan pasca perang bersama Zelensky, sambil menegaskan komitmen Eropah terhadap keamanan yang adil dan berkekalan.

"Kami membincangkan langkah seterusnya menuju perjanjian damai secara rundingan," katanya, sambil menegaskan semula pendirian EU untuk terus menyokong Ukraine.

Panggilan diplomatik itu berlangsung selepas pertemuan selama tiga jam antara Witkoff dan Putin di Moscow, yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju supaya Presiden AS Donald Trump dan Putin bertemu "dalam beberapa hari akan datang" bagi membincangkan perang itu.

Jurucakap kerajaan Jerman Stefan Kornelius berkata Merz dan Zelensky telah meneliti secara menyeluruh perkembangan usaha diplomatik terkini semasa perbualan mereka.

"Kedua-dua pemimpin memuji usaha pengantaraan Presiden AS dan bersetuju bahawa Rusia mesti menamatkan operasi ketenteraan yang melanggar undang-undang antarabangsa," kata Kornelius.

-- BERNAMA


#Rusia #Ukraine #Amerika Syarikat #gencatan senjata