BAITULMAQDIS: Pentadbiran Benjamin Netanyahu terus berdepan tekanan susulan perpecahan dalam kalangan pemimpin Israel berhubung isu pentadbiran Semenanjung Gaza pasca peperangan.

Ia turut didorong serangan tidak dijangka di beberapa wilayah Palestin oleh Hamas, selain kumpulan berkenaan mengumpulkan semula pasukannya di utara Gaza biarpun Israel sebelum ini mendakwa ia sudah dinyahaktifkan di lokasi terbabit.

Keadaan itu juga menyebabkan anggota Kabinet erang, Benny Gantz membuat serangan peribadi ke atas Netanyahu pada Sabtu dengan mengancam melepaskan jawatannya, kecuali jika Perdana Menteri meluluskan rancangan pasca perang bagi Semenanjung Gaza.

Menteri Pertahanan, Yoav Gallant pula mengecam Netanyahu kerana gagal menolak kemungkinan pembentukan kerajaan Israel di Gaza selepas perang awal minggu ini.

Gallant mendesak Netanyahu membuat keputusan dan mengumumkan Israel tidak akan menubuhkan kawalan awam ke atas Semenanjung Gaza.

Namun, Netanyahu menolaknya bulat-bulat, sekali gus membuka ruang kepada perpecahan dalam kalangan ahli politik utama, selain mengeruhkan hubungan dengan sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS).

Netanyahu juga berada di bawah tekanan Washington untuk mengakhiri konflik dengan segera dan mengelak daripada terjebak dalam kempen tindakan cegah pemberontakan yang panjang.

Washington sebelum ini menggesa pembentukan semula pihak berkuasa Palestin untuk mentadbir Semenanjung Gaza selepas perang, namun ditolak Netanyahu Khamis lalu, yang menyifatkan syor itu akan mendukung, mendidik dan membiayai keganasan.