INTERNATIONAL
Pemimpin Jordan, Mesir, Perancis akan adakan sidang kemuncak mengenai Gaza pada Isnin
Rakyat Palestin meninjau keadaan di tapak khemah penempatan sementara yang diserang Israel, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, 3 Apr 2025. REUTERS
AMMAN/ANKARA: Pemimpin Jordan, Mesir dan Perancis akan mengadakan sidang kemuncak di Kaherah pada Isnin bagi membincangkan situasi di Semenanjung Gaza susulan serangan udara terbaharu tentera Israel ke atas wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut kenyataan Mahkamah Diraja Jordan, sidang kemuncak antara Raja Abdullah II, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden Perancis Emmanuel Macron itu akan memberi tumpuan kepada "situasi berbahaya di Gaza."
Sidang kemuncak itu diadakan ketika tentera Israel meningkatkan serangannya ke atas Gaza sejak 18 Mac lepas yang telah meragut lebih 1,300 nyawa dan mencederakan 3,200 yang lain, meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan.
Pada Sabtu, Macron berkata beliau akan ke Mesir untuk menghadiri sidang kemuncak trilateral di Kaherah atas jemputan daripada rakan sejawatannya dari Mesir.
Presiden Mesir turut memaklumkan bahawa Sisi dan Macron telah berbincang mengenai perkembangan di Gaza melalui perbualan telefon dan menegaskan keperluan mendesak untuk melaksanakan gencatan senjata segera di wilayah itu.
Hampir 50,700 penduduk Palestin telah terbunuh di wilayah itu dalam serangan kejam Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November lepas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perangnya ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA