[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
DUNIA

Pemimpin NATO luluskan peningkatan besar perbelanjaan pertahanan

Bernama 25/06/2025 | 09:06 MYT
Sekutu NATO dijangka bersetuju untuk memperuntukkan lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka kepada perbelanjaan pertahanan dan perbelanjaan berkaitan menjelang 2035. - Reuters
THE HAGUE: Pemimpin NATO pada Rabu akan meluluskan secara rasmi peningkatan besar dalam perbelanjaan pertahanan bagi membiayai program persenjataan semula terbesar pakatan itu sejak Perang Dingin, ketika sekutu bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan Rusia ke atas wilayah NATO, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Ini adalah lonjakan besar yang bercita-cita tinggi, bersejarah dan asas dalam memastikan keselamatan masa depan kita," kata Setiausaha Agung NATO Mark Rutte di The Hague, lokasi sidang kemuncak tahun ini.
Pada hari kedua dan terakhir mesyuarat di bandar raya Belanda itu, sekutu NATO dijangka bersetuju untuk memperuntukkan lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka kepada perbelanjaan pertahanan dan perbelanjaan berkaitan menjelang 2035, susulan desakan berterusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump agar meningkatkan bajet pertahanan mereka.
Setakat ini, sekutu NATO diwajibkan membelanjakan sekurang-kurangnya dua peratus daripada keluaran ekonomi mereka untuk pertahanan, sasaran yang dipersetujui pada 2014 dan hanya akan dicapai oleh semua negara anggota tahun ini.
Di bawah komitmen baharu itu, sekurang-kurangnya 3.5 peratus KDNK mesti diperuntukkan untuk perbelanjaan ketenteraan teras, manakala tambahan 1.5 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan berkaitan, termasuk infrastruktur dwiguna bagi tujuan ketenteraan.
Dana tambahan ini bertujuan untuk memperluas keupayaan pencegahan dan pertahanan secara besar-besaran dalam tahun-tahun mendatang, memandangkan serangan Rusia yang berterusan ke atas Ukraine menonjolkan keperluan perlindungan lebih kukuh pada pandangan pakatan trans-Atlantik itu.
Butiran rancangan itu diklasifikasikan, namun Rutte berkata beliau menjangkakan sekutu NATO akan meningkatkan keupayaan pertahanan udara sebanyak lima kali ganda dan memperoleh ribuan lagi kereta kebal serta kenderaan berperisai, selain berjuta-juta peluru artileri.
-- BERNAMA
#perbelanjaan pertahanan #NATO #program persenjataan #keselamatan