DUNIA

Pemimpin Teluk desak mesyuarat pertahanan segera selepas serangan Israel ke atas Qatar

Bernama 16/09/2025 | 06:06 MYT
Sidang kemuncak luar biasa GCC di ibu negara Qatar, Doha berlangsung di luar sidang kemuncak luar biasa Arab-Islam. - Foto Reuters
DOHA/ISTANBUL: Pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Isnin menggesa agar Mesyuarat Majlis Pertahanan Bersama diadakan segera, didahului sesi Jawatankuasa Tentera, bagi menilai keadaan selepas pencerobohan Israel ke atas Qatar.


Ringkasan AI
  • Pemimpin GCC mengutuk keras pencerobohan Israel ke atas Qatar, menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan ancaman serius terhadap keselamatan serta kestabilan serantau.
  • Sidang kemuncak luar biasa GCC di Doha memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Majlis Pertahanan Bersama segera, didahului sesi Jawatankuasa Tentera, bagi menilai ancaman dan mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama.
  • GCC menegaskan keselamatan negara anggota tidak dapat dipisahkan, dan bersedia menggembleng semua kemampuan untuk mempertahankan Qatar, sambil mendesak masyarakat antarabangsa menghentikan tindakan agresif Israel.


Menurut Anadolu Ajansi, dalam sidang kemuncak luar biasa GCC di ibu negara Qatar, Doha, yang berlangsung di luar sidang kemuncak luar biasa Arab-Islam, para pemimpin menegaskan bahawa "penerusan dasar agresif ini menjejaskan usaha mencapai keamanan serta masa depan persefahaman dan perjanjian sedia ada dengan Israel, kerana membawa kesan serius terhadap kestabilan seluruh rantau."

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan akhir sesi luar biasa Majlis Tertinggi GCC berhubung serangan Israel ke atas Qatar yang diadakan di Doha selari dengan sidang kemuncak luar biasa Arab-Islam.

Kenyataan itu menyebut sidang luar biasa Majlis Tertinggi GCC dipengerusikan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dengan penyertaan Setiausaha Agung GCC Jasem Albudaiwi.

Antara yang hadir dalam sidang kemuncak luar biasa itu termasuk Naib Presiden Emiriah Arab Bersatu Mansour bin Zayed Al Nahyan; Sheikh Abdullah bin Hamad Al Khalifa, wakil peribadi Raja Bahrain; Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman; Timbalan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Pertahanan Oman Shihab bin Tariq Al Said; dan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.

Kenyataan itu menyifatkan serangan Israel ke atas Qatar sebagai "satu pencerobohan terang-terangan terhadap usaha masyarakat antarabangsa dan organisasinya bagi mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza serta pembebasan tebusan dan tahanan" dan "pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa."

Kenyataan akhir itu "mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Israel dan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Negara Qatar, menegaskan bahawa tindakan agresif ini merupakan peningkatan berbahaya dan tidak boleh diterima serta pelanggaran serius prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB."

Ia menekankan bahawa "keselamatan negara GCC tidak dapat dipisahkan dan sebarang serangan ke atas satu daripada negara itu adalah serangan terhadap semua, selaras dengan Statut Asas GCC dan Perjanjian Pertahanan Bersama, serta kesediaan negara anggota untuk menggembleng semua kemampuan bagi menyokong Negara Qatar dan melindungi keselamatan, kestabilan serta kedaulatannya daripada sebarang ancaman."

Menurut kenyataan itu, para pemimpin mengarahkan Majlis Pertahanan Bersama GCC mengadakan mesyuarat segera di Doha, didahului sesi Jawatankuasa Tentera Tertinggi.

Mesyuarat Majlis Pertahanan Bersama itu bertujuan "menilai kedudukan pertahanan negara anggota dan sumber ancaman susulan pencerobohan Israel terhadap Negara Qatar serta mengarahkan Komando Tentera Bersatu mengambil langkah pelaksanaan yang perlu bagi mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama dan kemampuan pencegahan Teluk."

Majlis Tertinggi menegaskan bahawa "serangan kejam Israel terhadap Qatar merupakan ancaman langsung terhadap keselamatan bersama Teluk serta keamanan dan kestabilan serantau."

Kenyataan itu menambah bahawa "penerusan dasar agresif ini menjejaskan usaha mencapai keamanan serta masa depan persefahaman dan perjanjian sedia ada dengan Israel, dengan membawa kesan buruk terhadap kestabilan seluruh rantau."

Kenyataan itu turut menegaskan "keperluan masyarakat antarabangsa menunaikan tanggungjawab moral dan undang-undang dengan bertindak segera untuk menghalang Israel dan menghentikan pelanggaran berulangnya terhadap undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang menjadi ancaman langsung kepada keselamatan rantau ini dan juga keamanan serta kestabilan antarabangsa."

Serangan di ibu negara Qatar menyasarkan pemimpin kumpulan Palestin Hamas yang sedang membincangkan cadangan gencatan senjata AS, mengorbankan lima anggotanya dan seorang pegawai keselamatan Qatar. Serangan itu mencetuskan kecaman global, dengan Presiden AS Donald Trump menyatakan beliau "amat tidak berpuas hati" terhadap operasi berkenaan.

-- BERNAMA




#Majlis Kerjasama Teluk #Qatar #serangan Israel #keselamatan serantau