[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Pemimpin terkemuka Kashmir, Abdul Ghani Bhat meninggal dunia pada usia 90 tahun

Bernama 18/09/2025 | 01:15 MYT
Walaupun berpegang pada pandangan pemisah, Bhat dianggap sebagai tokoh berhaluan sederhana.
NEW DELHI: Pemimpin terkemuka Kashmir, Prof Abdul Gani Bhat meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Bhat, antara pengasas All Party Hurriyat Conference pada 1993 dan kemudian pernah berkhidmat sebagai pengerusinya, meninggal dunia di kediamannya di daerah Sopore, Jammu dan Kashmir yang ditadbir India.

Dikenali kerana sifat sederhana dan jujur, beliau pernah mengajar bahasa Parsi selama 22 tahun di Kashmir sebelum diberhentikan pada 1986 atas alasan "keselamatan."

Beliau merupakan antara pengasas gabungan Muslim United Front (MUF) yang tewas dalam pilihan raya negeri 1987 yang penuh kontroversi.

Walaupun berpegang pada pandangan pemisah, Bhat dianggap sebagai tokoh berhaluan sederhana.

"Walaupun ideologi politik kami sangat berbeza, saya tetap mengingati beliau sebagai seorang yang berhemah tinggi," kata Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah menerusi hantaran di platform X.

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Kashmir, Mehbooba Mufti menyifatkan Bhat adalah suara kesederhanaan dalam sejarah Kashmir yang penuh pergolakan, seorang sarjana, pendidik dan intelektual yang disegani dengan pendekatan politik yang pragmatik.

"Beliau adalah pendokong kuat penyelesaian damai isu Kashmir, dan pengaruhnya amat besar," katanya.

Kerajaan Persekutuan India pada Ogos 2019 telah menarik balik status khas kawasan itu di bawah Perkara 370 Perlembagaan India, sekali gus memecahkannya kepada dua wilayah persekutuan iaitu Jammu dan Kashmir serta Ladakh.

Bhat, yang dilahirkan pada 1935 di perkampungan Botingoo, mempelajari bahasa Parsi, ekonomi dan sains politik di Kolej Sri Pratap di bandar Srinagar.

Beliau kemudian memperoleh ijazah sarjana dalam bahasa Parsi dan undang-undang dari Universiti Muslim Aligarh di negeri Uttar Pradesh.

-- BERNAMA


#Prof Abdul Gani Bhat #pemimpin terkemuka Kashmir #Abdul Gani Bhat meninggal dunia #All Party Hurriyat Conference