DUNIA

Pemimpin utama EU sertai perbincangan Trump-Zelensky di Washington

Bernama 17/08/2025 | 22:30 MYT
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni (kiri) dan Presiden Finland, Alexander Stubb dijadualkan menghadiri pertemuan itu.
GENEVA/BERLIN: Pemimpin utama Eropah akan ke Washington pada Isnin untuk menyertai perbincangan mengenai Ukraine bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Presiden Finland, Alexander Stubb dijadualkan menghadiri pertemuan itu.

Kerajaan Jerman berkata, lawatan itu akan menjadi sesi "pertukaran maklumat" susulan pertemuan Trump baru-baru ini dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Alaska.

Perbincangan dijangka tertumpu pada jaminan keselamatan, isu wilayah, sokongan terhadap pertahanan Ukraine dan usaha mengekalkan tekanan sekatan ke atas Rusia.

Di Helsinki, pejabat Presiden Finland mengesahkan penyertaan Stubb dalam pertemuan yang disifatkan sebagai "pertemuan mengenai keamanan di Ukraine."

Agensi berita Itali ANSA turut mengesahkan kehadiran Meloni.

Media antarabangsa melaporkan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte juga akan menyertai perbincangan di Washington itu.

Pada Jumaat, Trump dan Putin telah mengadakan pertemuan tertutup selama tiga jam dengan Putin menyatakan bahawa mereka telah mencapai satu "persefahaman."

Selepas pertemuan itu, Trump memberitahu Fox News bahawa walaupun kemajuan telah dicapai, kini terpulang kepada Zelenskyy dan pemimpin Eropah "untuk menyelesaikannya."

-- BERNAMA




#pemimpin EU #pertemuan trump-zelensky #Ukraine #Amerika Syarikat #Giorgia Meloni #Alexander Stubb