DUNIA

Pemuda ANC gesa duta Israel tinggalkan Afrika Selatan

Agensi 20/07/2014 | 19:05 MYT
Kongres Nasional Afrika
Sayap pemuda parti pemerintah Afrika Selatan, Kongres Nasional Afrika (ANC) sekali lagi menggesa Duta Besar Israel ke negara itu, Arthur Lenk supaya meninggalkan Afrika Selatan, lapor agensi berita SAPA.

"Kami menggesa duta Arthur Lenk supaya siap-siap berkemas dan bersedia untuk berangkat bagi mengelak sebarang trauma yang tidak diingini," kata pemimpin Liga Pemuda ANC, Muhammad Khalid Sayed.

"Kami akan mendukung pemimpin kami selagi mereka mengambil langkah yang wajar dan memanggil pulang duta ke Israel (Sisa Ngombane) dan mengusir duta Israel di Afrika Selatan."

Sayap pemuda itu turut menyatakan sokongan kepada kenyataan kaukus parlimen ANC yang membuat gesaan sama -- panggil pulang duta Afrika Selatan di Israel dan usir duta Israel di Afrika Selatan.

Duta Israel itu beberapa hari lalu dipanggil oleh Kementerian Luar Afrika Selatan untuk memaklumkan pendirian kerajaan negara itu berhubungan ketegangan yang sedang berlaku di Gaza.

Afrika Selatan antara lain mendesak Israel menghentikan segera serangan ke atas penduduk Palestin di Gaza.

Biarpun ada laporan duta besar Afrika Selatan itu sudah pulang ke tanah air jurucakap kementerian luar memaklumkan beliau pulang untuk satu mesyuarat dan belum ada keputusan untuk memanggilnya balik.

ANC mempertahakan pendiriannya selama ini membandingkan penindasan Israel ke atas Palestin sebagai tidak ubah seperti rejim fasis Hitler semasa Perang Dunia Kedua.

Afrika Selatan mempunyai hubungan sejarah yang panjang dengan perjuangan pembebasan Palestin. Bekas presiden republik itu, mendiang Nelson Mandela pernah menyamakan rejim Zionis dengan rejim aparteid yang pernah memerintah Afrika Selatan.
#Afrika Selatan #Israel #Palestin